PENUBUHAN JAKIM SELARAS PERLEMBAGAAN

Oleh Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

Baru-baru ini, ada sesetengah kalangan yang mendakwa penubuhan Jakim adalah tidak berperlembagaan dan perlu dimansuhkan.

Kalangan yang berpendirian begitu memegang pandangan bahawa oleh kerana Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri sebagaimana diperuntukkan oleh Jadual Kesembilan Senarai II Butiran 1, kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kuasa untuk membuat apa-apa tindakan mengenai agama Islam. Semua perkara yang bersangkutan dengan Islam adalah eksklusif berada dalam bidang kuasa negeri.

Dalam kerangka sistem Perlembagaan Persekutuan, Islam terletak di bawah kuasa negeri dan Ketua Agama Islam adalah sultan negeri itu sendiri. Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai sultan atau raja, Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri tersebut.

Parlimen walau bagaimanapun mempunyai kuasa yang sama dengan negeri-negeri lain untuk membuat sebarang undang-undang Islam dan kerajaan Persekutuan mentadbir agama Islam bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Jakim tidak mempunyai kuasa perundangan sama ada mengambil tindakan seperti menuduh orang Islam atas kesalahan jenayah syariah ataupun apa-apa kuasa negeri yang lain.

Jakim merupakan sekadar badan yang mengambil peranan menyelaras dan menyeragamkan pengamalan Islam di antara negeri-negeri.

Terpulanglah kepada negeri-negeri untuk membuat keputusan mereka sendiri. Jika adapun kuasa sedemikian kuasa tersebut diberikan oleh pihak negeri ataupun Wilayah Persekutuan.

Namun, tidak semua perkara berkaitan Islam terletak seratus peratus di bawah bidang kuasa negeri. Umpamanya, beberapa undang-undang Persekutuan yang mempunyai kaitan atau menyentuh pengamalan Islam dilulus Parlimen. Antara Undang-Undang tersebut ialah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), Akta Bank Islam 1983 (Akta 276), Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 (Akta 326) dan beberapa undang-undang Persekutuan lain lagi.

Persoalan

Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 umpamanya memperuntukkan dan mengiktiraf pengamalan perubatan Islam. Persoalan di sini bagaimanakah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat memastikan suatu perubatan Islam itu benar di sisi Islam bukan khurafat, sihir, syirik atau yang bertentangan dengan hukum syarak.

Sebagai sebuah entiti Persekutuan sudah pasti KKM memerlukan sebuah entiti persekutuan juga bagi membantunya. Tidak munasabah KKM terpaksa merujuk empat belas buah negeri bagi suatu perkara.

Oleh itu, Jakimlah entiti yang dirujuk dan ia bertepatan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam Jadual Kesembilan Senarai I Butiran 4(k) yang menyebut Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa dalam penentuan Hukum Syarak, selain daripada undang-undang diri, bagi tujuan-tujuan undang-undang Persekutuan. Undang-Undang Persekutuan yang dimaksudkan itu adalah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016.

Bagi urusan haji pula, umpamanya, sebuah jabatan Persekutuan iaitu Jabatan Wakaf dan Haji (Jawhar) menguruskannya melalui Tabung Haji.

Urusan dibuat mengenai kuota haji, visa, pengamalan logistik dan sebagainya diurus oleh entiti Persekutuan. Ini adalah kerana hubungan antarabangsa iaitu antara Malaysia dan Arab Saudi dilakukan oleh kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Arab Saudi tidak akan berunding dengan negeri-negeri mengenai perkara ini. Jadi entiti di peringkat Persekutuan yang menjalankan fungsi ini.

Suatu perkara lagi, jika kita meneliti peruntukan Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa dana awam boleh digunakan bagi pembangunan agama Islam. Dana awam daripada kerajaan Persekutuan adalah sah digunakan oleh kerajaan bagi maksud tersebut.

Persoalannya, bagaimanakah dana tersebut nak diuruskan bagaimana ia mahu digunakan dan siapa yang akan memantaunya? Sebab itulah Jakim diletakkan terus di bawah Jabatan Perdana Menteri dan berada di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Adalah mustahil dana tersebut digunakan secara semberono dengan terus disalurkan kepada negeri. Jakim merupakan pengurus kepada dana tersebut bagi memberi erti kepada Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan tersebut.

Lantaran itu, saya tidak nampak bagaimana dikatakan Jakim tidak berperlembagaan. Situasi akan berbeza sekiranya Jakim bertindak dalam perlaksanaan undang-undang jenayah syariah di luar Wilayah-Wilayah Persekutuan, umpamanya, kerana ia adalah bidang kuasa negeri. Sehingga hari ini tiada sebarang campur tangan Jakim terhadap bidang kuasa negeri-negeri.Dalam sebuah negara yang mengamalkan prinsip federalisme dan terdapat dua badan perundangan iaitu Persekutuan dan negeri, hubungan antara dua badan perundangan ini mestilah akrab dan saling melengkapi bukan bersaing antara satu sama lain.

Bagi maksud itu, Jakim memainkan peranan yang penting bagi menyelaraskan pelbagai isu melalui pelbagai jawatankuasa antaranya Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Jawatankuasa Teknikal Undang Undang Syarak/Sivil, Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) dan banyak lagi tanpa mengambil kuasa negeri-negeri.

Jakim ditubuhkan secara pentadbiran oleh kerajaan tidak melalui undang-undang. Norma lazim ini memang biasa dilakukan dan tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan.

Representasi

Representasi salah juga selalu dibuat dengan hanya mengemukakan fakta Jakim diberikan dana yang banyak oleh kerajaan Persekutuan. Namun sebenar dana tersebut bukanlah semata-mata untuk digunakan oleh Jakim.

Jumlah besar digunakan untuk gaji para imam dan pegawai masjid yang berkhidmat di negeri-negeri, begitu juga ustaz-ustaz yang mengajar di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Ia bertujuan untuk membiayai dana pengembangan agama Islam di negeri-negeri seluruh Malaysia. Ia bukan untuk Jakim semata-mata. Golongan itu perlu membuat kajian terlebih dahulu sebelum membuat dakwaan yang tidak mempunyai asas.

Saya kekal berpandangan penubuhan dan operasi Jakim sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan. Tiada apa salahnya malah operasi Jakim ini seharusnya diperkemas dan dipertingkat lagi bagi menjaga Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama semua negeri-negeri di Malaysia selain Sarawak.

Saya juga ingin bertanya kepada pihak kerajaan Persekutuan, selepas PRU yang lepas telah ditubuhkan suatu jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam yang diurusetiakan oleh Majlis Raja-raja. — AlHijrah Online/Sinar Harian

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply