GAGAL SIAPKAN KERJA SEKOLAH, MURID TAHUN LIMA DIROTAN GURU BESAR

SEGAMAT: Seorang murid lelaki tahun lima di sebuah sekolah di sini cedera di bahagian badan dan muka selepas didakwa dirotan guru besar dipercayai akibat gagal menyiapkan kerja sekolah.

Ketua Polis Daerah Segamat Supt Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya mengetahui kejadian tersebut menerusi hantaran di Facebook Polis Daerah Segamat pada jam 11 malam pada Selasa.

“Pada jam 12.10 tengah malam, satu laporan polis dibuat ibu mangsa mengatakan anaknya cedera di leher kiri, bahu kiri dan calar di pipi akibat dirotan guru besar wanita berusia 50-an.

“Siasatan awal mendapati murid itu dirotan kerana gagal menyiapkan kerja sekolah dan bersikap sambil lewa ketika sesi pembelajaran di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Susulan kejadian itu pihaknya telah memanggil guru berkenaan dan sudah mengambil keterangannya bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Ahmad Zamry berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.—AlHijrah Online

Leave a Reply