GAJI MINIMUM RM 1,200 SEBULAN DI 57 BANDAR UTAMA

Last Updated on

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan bahawa kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,200 sebulan di bandar-bandar utama di bawah pentadbiran 57 Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran, manakala kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan bagi selain daripada wilayah bandar utama.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan hari ini berkata tarikh kuat kuasa perintah gaji minimum baharu adalah mulai 1 Jan 2020 ke atas semua majikan dan perintah tersebut akan diwartakan dalam masa terdekat.

“Pelaksanaan gaji minimum RM1,200 sebulan di wilayah bandar-bandar utama dan RM1,100 sebulan selain daripada wilayah bandar-bandar utama adalah berdasarkan tempat kerja yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 Akta Kerja 1955 (Akta 265), Ordinan Buruh Sabah (Bab 67) dan Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76) iaitu di mana-mana tempat kerja dijalankan untuk majikan oleh pekerja,” menurut KSM.

Kenyataan itu susulan pembentangan Bajet Tahun 2020 dan keputusan Jemaah Menteri pada 6 Dis lepas berhubung pelaksanaan gaji minimum RM1,200 sebulan di kawasan wilayah bandar-bandar utama.

Sementara itu, menurut kenyataan itu kadar gaji minimum mengikut jam dan hari serta bagi pekerja yang dibayar mengikut upah ikut kerja, perjalanan, komisen, tan dan tugasan akan diperincikan dalam perintah gaji minimum yang baharu.

Menurut KSM, gaji minimum dikekalkan pemakaiannya kepada semua pekerja di sektor swasta kecuali perkhidmat domestik sebagaimana dalam perintah gaji minimum 2018.

Keputusan kerajaan meningkatkan gaji minimum bagi pekerja di wilayah bandar-bandar utama adalah bagi membantu pekerja di kawasan ini yang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Bandaraya utama yang terlibat ialah Johor Bahru, Iskandar Puteri, Alor Setar, Melaka Bersejarah, Pulau Pinang, Seberang Perai, Ipoh, Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Terengganu, Kuching Utara, Kuching Selatan, Miri, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, manakala bandar utama ialah Batu Pahat, Kluang, Kulai, Muar, Segamat, Pasir Gudang, Kulim, Sungai Petani, Langkawi, Kubang Pasu dan Kota Bharu.

Turut tersenarai ialah bandar Alor Gajah, Jasin, Hang Tuah Jaya, Seremban, Nilai, Port Dickson, Jempol, Kuantan, Temerloh, Bentong, Manjung, Kuala Kangsar, Taiping, Teluk Intan, Kangar, Ampang Jaya, Kajang, Klang, Selayang, Subang Jaya, Sepang, Kemaman, Dungun, Padawan, Sibu, Kota Samarahan, Bintulu, Sandakan, Tawau, Labuan dan Putrajaya.

KSM berkata kadar gaji minimum akan terus disemak bagi memastikan ia sejajar dengan keperluan semasa dan juga selaras dengan hasrat untuk mencapai kadar gaji minimum RM1,500 sebulan dalam tempoh lima tahun pertama pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan. — BERNAMA

Leave a Reply