GURU BESAR DIDAKWA PECAH AMANAH WANG SEWAAN MESIN LAYAN DIRI

Sumber Gambar: BERNAMA

SHAH ALAM: Seorang guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan pecah amanah wang sewaan mesin layan diri berjumlah RM3,600 di sebuah sekolah di Klang dekat sini antara 2017 dan 2019.

Bagi kesemua pertuduhan, Roslan Zakaria, 48, melakukan perbuatan itu dengan tidak mengkreditkan wang tersebut ke dalam akaun Kumpulan Sumbangan Wang Awam (SUWA) dan menggunakan wang berkenaan untuk diri sendiri di cawangan Maybank Islamic Bhd Bandar Baru Sungai Buloh, antara 9 Mac 2017 dan 10 Feb 2019.

Roslan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Bagaimanapun, Roslan yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh menanggung isteri serta tiga anak yang masih bersekolah.

Hakim Rozilah Salleh kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi ketujuh-tujuh pertuduhan dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada setiap bulan.

Mahkamah juga menetapkan 5 Julai depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.–AlHijrah Online

Leave a Reply