Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

GURU BUKAN ISLAM TERIMA ANUGERAH TOKOH MAULIDUR RASUL

DALAM NEGARA

GURU BUKAN ISLAM TERIMA ANUGERAH TOKOH MAULIDUR RASUL

MELAKA: Seorang guru bukan Islam dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Abdullah Uraiqith bersempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka, tahun ini.

Guru bimbingan dan kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, Chan Chin Ho, 41 tahun menerima anugerah tersebut atas usahanya membimbing pelajar menghasilkan video berbentuk dakwah dan kerohanian.

Katanya, perbezaan agama bukannya penghalang namun menganggap agama itu sebagai titik penyatuan dan perpaduan kaum.

Beliau berkata, sebagai seorang guru dia perlu prihatin dengan keadaan pelajar terutama mereka yang terjejas dengan pandemik COVID-19 selain menjadi perantaraan penyerahan peranti di bawah program Cerdik kepada kira-kira 50 pelajar yang tidak berkemampuan agar mereka tidak tercicir mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR).

“Anugerah ini memberikan semangat kepada saya untuk terus membantu pelajar terutama pelajar beragama Islam bagi mengikuti program-program anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“Terima kasih atas penghargaan ini oleh kerajaan negeri Melaka,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Dalam majlis yang sama, pengurus jenazah pesakit COVID-19 Hospital Melaka, Hasnul Hussien berusia 52 tahun menzahirkan rasa terharu selepas diberikan penghargaan untuk menerima Anugerah Abu Thalhah.

Menurutnya, selama lebih 15 tahun menguruskan jenazah, dia mengakui pengurusan jenazah pesakit COVID-19 merupakan satu cabaran besar lebih-lebih lagi perlu memakai perlindungan diri (PPE) dalam bilik kecil dan bahang.

“Bagi saya apa jua kerja dan tugas yang kita lakukan, buatlah seikhlas hati tanpa mengharapkan penghargaan dan sebagainya,” katanya.

Sembilan individu menerima Anugerah Khas Tokoh Maulidur Rasul termasuk Pengerusi Kluster Penguatkuasaan dan Pendakwaan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah Malaysia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Rahimin Bani yang menerima Tokoh Muhamad Al-Fateh manakala bekas Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sharul Lalli Masduki menerima anugerah Tokoh Umar Abdul Aziz.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading