GURU KAFA DISYAKI HEMPAS MURID SEHINGGA PATAH KAKI DIREMAN

KUALA TERENGGANU: Seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di sebuah sekolah di Marang dekat sini, direman tiga hari selepas disyaki menghempas seorang anak murid lelakinya sehingga patah kaki.

Perintah reman terhadap lelaki itu yang bermula hari ini hingga Ahad itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Kuala Terengganu Rabiatul Adawiyyah Che Khalid.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris ketika dihubungi berkata perintah reman tersebut bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, seorang murid lelaki berusia sembilan tahun dilapor patah kaki kanannya selepas didakwa dihempas ke atas kerusi oleh seorang guru KAFA sewaktu sesi pengajaran pada 6 Julai lepas.

Kejadian itu dikatakan dilakukan kerana guru KAFA tersebut berang dengan perlakuan murid Tahun Tiga berkenaan di dalam kelas. –AlHijrah Online

Leave a Reply