GURU KAFA: PENYERAPAN JAWATAN, ELAUN DG29 BAKAL TERLAKSANA

Gambar Hiasan

IPOH: Projek Rintis Pembelajaran Kelas Al-Quran Dan Fardu Ain (KAFA) bagi menyerap jawatan tetap guru-guru KAFA dan dibayar elaun setaraf dengan DG29 bakal terlaksana tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, inisiatif itu walaupun diusahakan kerajaan terdahulu tetap akan dilaksanakan dan kertas kerja berkaitan telah pun disiapkan.

Jelas Idris, pihaknya juga baru bermesyuarat dengan Bahagian Pendidikan Dan Dasar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membincangkan perkara itu yang kini dalam usaha penyelarasan.

“Jadi bila berlaku penyelarasan ini kita kena ingat pelaksananya ialah di pihak Majlis Agama Islam Negeri atau pun di pihak Jabatan Agama Islam Negeri, kita di JPM hanya boleh menyelaras dan mencadangkan saja,” katanya.

Menurut Idris, ketika ini jumlah hari pengajian kelas KAFA antara negeri juga berbeza iaitu tiga dan lima hari.

Justeru jelas beliau, penyelarasan perlu dibuat selain penelitian berkaitan penggajian dan pencen untuk guru-guru KAFA.

Idris berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Program Inspirasiku MyHAUS YaPEIM di Kampung Sri Aman, Menglembu di Ipoh hari ini.

Inisiatif pelaksanaan Projek Rintis Pembelajaran KAFA yang sepatutnya dilaksanakan tahun lalu terpaksa dipinda susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Projek kerjasama Jabatan Perdana Menteri dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu bagi merealisasi usaha menyerap jawatan guru-guru KAFA.

Pelaksanaan projek ini yang sepatutnya bermula tahun 2020 sehingga tahun 2022 itu bagi membolehkan masa hadapan sejumlah 35,000 guru KAFA terbela. –AlHijrah Online

Leave a Reply