GOMBAK: Seorang guru wanita disyaki mencederakan kanak-kanak perempuan dengan menggunakan pen di sebuah tadika swasta di sini Isnin lalu, direman enam hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, wanita berusia 30 tahun itu ditahan selepas laporan dibuat oleh bapa mangsa yang mendapati anaknya mengalami kecederaan di bahagian kepala.
“Berdasarkan keterangan pengadu, kecederaan itu disebabkan tindakan guru yang mencederakan anaknya semasa berada di tadika,” katanya.
Semalam, guru wanita tersebut telah ditahan polis sekitar jam 2 petang oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Gombak.
Mangsa berusia enam tahun itu dirujuk ke Hospital Selayang bagi rawatan lanjut dan disahkan mengalami kecederaan ‘soft tissue injury’ di bahagian kepala.
Siasatan lanjut kini dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.—AlHijrah Online