MAKKAH: Seorang jemaah haji Malaysia telah meninggal dunia akibat serangan jantung di klinik kecemasan Bangunan Abraj Al-Janadriyah, pada Isnin, 9 Jun lalu.
Allahyarhamah Jamaliah Masron, 68, dari Kota Tinggi, Johor menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6.05 petang waktu tempatan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian setakat ini seramai 11 orang jemaah.
“Bagi pihak Kerajaan Malaysia dan Tabung Haji (TH) merasa dukacita dengan berita tersebut.
“TH telah menguruskan segala keperluan berkaitan pengurusan jenazah termasuk mandi, solat jenazah di Masjidil Haram dan pengebumian di Tanah Suci Makkah selain memaklumkan perkara tersebut kepada waris Allahyarhamah di Malaysia.
Untuk rekod, sebanyak 10 kes jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah berpunca daripada serangan jantung sementara hanya seorang disebabkan jangkitan kuman dan kegagalan organ.—AlHijrah Online