HAK NAFKAH IBU TUNGGAL DAN ANAK-ANAK TERBELA MELALUI BSK

KUALA LUMPUR: Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) yang ditubuhkan di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada 22 Oktober 2008 telah banyak membantu para ibu tunggal dan anak-anak dalam mendapatkan hak nafkah yang telah diabaikan oleh bekas suami atau bapa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ibu tunggal dan anak yang diabaikan hak itu dibantu antaranya dari sudut kewangan dalam dua kaedah iaitu melalui bantuan dan pendahuluan nafkah.

“Sejak dari penubuhannya, sebanyak RM 1,855,103.28 telah disalurkan kepada 856 pelanggan BSK dalam bentuk pendahuluan nafkah.

“Manakala sebanyak RM 1,006,260.00 telah disalurkan kepada 1,105 pelanggan BSK dalam bentuk bantuan nafkah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Asmak Husin yang ingin tahu jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan untuk membantu pelanggan yang memerlukan sejak penubuhan BSK dan kesan penubuhannya terhadap pembangunan wanita dan keluarga.

Tambah Zulkifli, penyaluran bantuan kepada pelanggan BSK ketika ini hanya terhad di negeri Selangor, Terengganu, Kedah, Pahang dan akan datang, Wilayah Persekutuan.

Jelasnya bantuan nafkah yang diberikan melalui BSK mengikut jumlah dan tempoh tertentu tidak perlu dibayar balik, manakala pendahuluan nafkah yang disalurkan kepada pelanggan mengikut kadar dan tempoh tertentu perlu dibayar balik (oleh suami atau bapa).

Sementara itu katanya melalui penubuhan BSK ia bukan sahaja meringkan beban ibu tunggal untuk meneruskan hidup, malah telah berjaya menyelesaikan masalah berkaitan dengan perlaksanaan perintah nafkah dengan lebih baik, teratur dan berkesan.

“Perkhidmatan yang ditawarkan oleh BSK dapat membantu memastikan perintah yang diabaikan oleh bekas suami atau bapa dapat dikuatkuasakan.

“Bilangan penyelesaian kes penguatkuasaan perintah turut meningkat selepas penubuhan BSK,” katanya. — AlHijrah Online

Leave a Reply