SYOR PRU15 DIADAKAN TAHUN DEPAN

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan untuk melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 selepas Julai tahun depan supaya pengundi berusia 18 tahun dapat terlibat secara langsung dalam proses memilih kerajaan.
Senator, Ismail Yusof berkata, langkah itu selari dengan pelaksanaan sistem pendaftaran pemilih secara automatik yang dijangka dikuatkuasakan selewat-lewatnya pada Julai tahun depan.
“Pelaksanaan sistem undi secara automatik mengikut garis masa kita, hanya akan dibuat pada Julai 2021 dan saya buat penegasan untuk minta PM (Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan kerajaan PN (Perikatan Nasional) supaya Pilihan Raya Umum diadakan selepas itu.
Ismail Yusof
Senator Dewan Negara
“Ini kerana pelaksanaan PRU selepas (tempoh) itu akan membuka lebih banyak ruang demokrasi kerana lebih ramai pemilih sekali gus lebih ramai suara rakyat akan dapat dizahirkan dalam proses pembentukan kerajaan.”
Ismail Yusof
Senator Dewan Negara

Ismail berkata, dengan langkah itu, pembentukan kerajaan pada PRU akan datang dilihat lebih efektif dengan penyertaan golongan muda.
Beliau mengulas jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Shabudin Yahaya semasa persidangan Dewan Negara yang menyatakan seramai 4.2 juta penduduk berusia lebih 21 tahun di negara ini masih belum mendaftar sebagai pemilih. – AlHijrah Online/ Faez Baderolhesam/ Bernama