HALA TUJU WARTAWAN, INDUSTRI MEDIA TUMPUAN UTAMA HAWANA

KUALA LUMPUR: Deklarasi Melaka yang menggariskan hala tuju kewartawanan dan industri media negara akan menjadi tumpuan pada Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) esok.

Ketua-ketua pengarang, pengarang dari pelbagai agensi dan tokoh media dijadual akan turut berkumpul dalam Forum Media Nasional yang dianjurkan sempena HAWANA 2022 bagi berbincang mengenai kepentingan masa depan industri media, terutamanya apabila berhadapan dengan perubahan teknologi dan persekitaran yang semakin mencabar.

Sambutan tersebut yang bertemakan ‘Suara Jelata, Aspirasi Negara’ akan diadakan di Melaka tahun ini dengan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan lebih 700 pengamal media termasuk kehadiran wartawan dari beberapa negara ASEAN.

Menurut Jawatankuasa Publisiti dan Promosi HAWANA 2022, majlis kali ini juga akan menyaksikan penghormatan diberikan kepada wartawan professional, individu dan organisasi menerusi Anugerah HAWANA 2022.

“Pemilihan dibuat terhadap penerima yang telah memberi sumbangan besar bukan sahaja dalam bidang kewartawanan tetapi juga dalam membentuk minda rakyat menerusi karya-karya yang dihasilkan,” kata jawatankuasa tersebut.

HAWANA yang disambut setiap tahun pada 29 Mei merupakan pengiktirafan dan penghargaan kerajaan atas sumbangan pengamal media dalam membantu membangunkan negara dan mengukuhkan perpaduan masyarakat.

Sambutan HAWANA diadakan pertama kali di Malaysia pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE Kuala Lumpur. – AlHijrah Online

Leave a Reply