“HAMZA ADALAH SEGALA-GALANYA” – WAEL ELDAHDOUH

GAZA: Wael Eldahdouh, wartawan kanan yang juga Ketua Biro Aljazeera di Gaza muncul di laman-laman sosial hari ini dan membuat ucapan sulung selepas kematian anak kesayangannya, Hamza Eldahdouh, 27, yang juga seorang pemberita.

Video ucapan berdurasi 2 minit 10 saat itu dimuat naik oleh Walid Mahmoud, yang juga seorang petugas media di Gaza.

Wael, pada awal video tersebut menyatakan penghargaan kepada semua yang bersimpati di atas tragedi yang menimpa keluarganya.

Jelas Wael, semangat dan dorongan daripada mereka yang menghulur simpati, doa dan solidariti telah menjadi pemangkin baginya untuk terus berada di lapangan sebagai pelapor isu kemanusiaan di Gaza.

“Ia (doa dan solidariti) menjadi salah satu perkara yang sangat penting yang memberi kekuatan kepada saya untuk terus berada di sini,” katanya.

Jelas Wael, memang benar apa yang berlaku ke atasnya amat perit untuk ditelan. Malah ia diumpamakannya sebagai kehilangan sesuatu yang amat berharga.

“Hamza adalah segala-galanya. Dia bukan hanya cebisan daripada saya. Dialah nyawa dan jiwa saya.

“Kejadian ini (kematian Hamza) berlaku selepas saya kehilangan isteri, anak lelaki bernama Mahmoud, Hisham, Adam, saudara-mara, dan rakan seperjuangan, Samer,” ujar Wael.

Pun begitu, bagi Wael, ‘harga yang perlu dibayar’ dan keperitan yang perlu ditanggung tidak langsung mematahkan semangatnya untuk terus berjuang.

Wartawan kanan berusia 54 tahun itu mengakui, liku kehidupannya kini amat sukar dan tidak mudah.

“Sebagai mana kami nyatakan, kami tidak akan berganjak walau setiap saat pun selagi kami masih bernyawa, dan selagi itulah kami akan lunaskan tanggungjawab ini.

“Ia perjuangan mulia, suci dan membawa mesej kemanusiaan yang disucikan lagi dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan kesepakatan,” katanya.

Jelas Wael, atas sebab demikianlah, beliau dan rakan-rakan akan terus menempuhi perjuangan itu.

Beliau juga menyifatkan pengorbanan paling berharga rakan-rakan, ahli keluarga termasuk Hamza sendiri sebagai pembakar semangat untuk terus kekal memainkan peranannya.

“Jadi saya tekad untuk menyambung tugasan ini dengan meletakkan kepercayaan tertinggi untuk meneruskannya,” ujar Wael.

Wael mengakhiri ucapannya dengan mengucapkan salam serta mendoakan keberkatan semua dan semoga setiap yang menonton diberi ganjaran daripada Allah.

Realiti kehidupan yang dilalui Wael tular di seluruh dunia berikutan ketabahannya meneruskan kehidupan dan tugasan biarpun sebahagian besar ahli keluarga beliau syahid akibat dibunuh kejam oleh rejim Zionis.

Wael juga nyaris maut dalam satu serangan hampir empat minggu lalu di Khan Yunis, yang turut mengorbankan jurukamera, Samer Abu Daqqa.–AlHijrah Online

Leave a Reply