Hanya berjubah dan berselipar dalam salji

LEMBAH BEQAA, LUBNAN – Pelarian Syria di sini hanya menyarung jubah dan selipar ketika menghadapi musim salji dengan suhu bawah paras beku -12°C.

Jelas mereka, itu sahaja kelengkapan musim sejuk yang ada untuk bertahan dalam cuaca buruk itu.

Mereka tidak mampu mendapatkan jaket musim sejuk mahupun kasut sesuai untuk melindungi mereka daripada suhu sejuk melampau.

Tanpa perlindungan dari cuaca dahsyat ini, ada dalam kalangan kanak-kanak yang tidak mampu bertahan lalu menemui ajal kerana musim sejuk sebegini.

Lebih menyedihkan, mereka terpaksa mengharungi suhu ekstrem yang menggigit dengan hanya berlindung di dalam khemah diperbuat daripada kanvas.

Pelarian Syria berjalan di celah khemah yang diperbuat hanya dari kanvas

Tambah malang, ada sebahagian khemah mereka musnah akibat dibadai ribut salji.

Belum dikira khemah yang runtuh akibat tidak mampu menampung berat timbunan salji di atas bumbung khemah mereka.

Salah seorang pelarian di sini yang enggan namanya didedahkan berkata, dia tinggal di kem ini seorang diri dan sudah enam tahun tidak mendengar khabar anak-anaknya di Syria.

Dia yang merupakan orang kurang upaya mengharungi musim salji buruk hanya bergantung harap pada jiran-jirannya untuk meneruskan hidup.

Katanya, jiran-jiran banyak membantunya untuk membayar sewa tanah khemah didiaminya dan menyediakan makanan untuknya.

Pernah satu ketika dia terpaksa menjual barang berharga miliknya untuk membayar segala keperluan yang mencecah LBP100,000 sebulan, lebih kurang RM273.00.

Orang ramai yang ingin menyumbang, boleh melakukannya menerusi laman web http://tabungsyria.com

*Laporan wartawan, Hanan M. Said yang sedang mengikuti Misi Bantuan Kecemasan Musim Sejuk anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Leave a Reply