HARGA PELITUP MUKA LEBIH MURAH AKAN DIUMUMKAN

KUALA LUMPUR: Penurunan harga siling bagi pelitup muka tiga lapis dijangka akan diumum pada hujung September atau Oktober depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pengumuman akan dibuat setelah kajian selesai dan bekalan pelitup muka mencukupi.

“Selepas kajian, kita akan umum dalam hujung September atau Oktober untuk diturunkan lagi di bawah paras RM1. Kita juga harap pemain industri mengambil maklum perkara ini dan jangan kata kita tidak bagi notis,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, 1.5 juta pelitup muka mampu dihasilkan oleh pengilang tempatan dalam sehari dan 4 lagi kilang baharu akan memulakan operasi Oktober ini.

Jelasnya lagi, sebelum ini harga pelitup muka adalah sama bagi saiz kanak-kanak dan dewasa.

Ia kerana pengilang beralasan bahawa kos pembuatan pelitup muka tidak bergantung kepada saiz semata-mata.

“Saiz untuk kanak-kanak tidak jauh beza daripada dewasa, kami dapati selepas buat kajian tidak dapat dikurangkan mengikut saiz begitu saja dan ia perlu harga yang sama untuk kanak-kanak,” katanya lagi.

Beliau menjawab pertanyaan ahli parlimen Rasah, Cha Kee Chin sama ada harga siling pelitup muka akan diturunkan secara berperingkat memandangkan bekalan pelitup mula sudah mencukupi. — AlHijrah Online / Abdul Hakim Hassan

Leave a Reply