PELAN PEMULIHAN TH RUMIT PUNCA KELEWATAN LAPORAN AUDIT

Kenyataan TH yang dikeluarkan hari ini

KUALA LUMPUR: Kelewatan pembentangan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Tabung Haji (TH) 2018 berpunca Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Tabung Haji oleh kerajaan terdahulu yang kompleks dan tidak pernah dilakukan sebelum ini.

TH dalam satu kenyataan menjelaskan, pelan berkenaan mengakibatkan proses pengauditan memakan masa yang agak panjang, sekali gus mendorong kelewatan pembentangan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH.

Menurut TH, laporan Penyata Kewangannya bagi 2018 telah dihantar kepada Jabatan Audit Negara pada April 2019 namun hanya dapat dibentangkan di Parlimen hari ini.

“Sijil Audit Bersih daripada Ketua Audit Negara hanya dikeluarkan pada 21 November 2019. Pada masa sama, TH perlu melalui proses biasa dan mendapatkan ulasan daripada agensi kerajaan berkaitan di mana ulasan-ulasan ini telah diperoleh pada 19 Disember 2019.”

Tabung Haji

Menurut kenyataan TH lagi, laporan kewangan itu kemudiannya diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada ketika itu untuk dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri, seterusnya di Parlimen setelah mendapat persetujuan kabinet.

Ibu pejabat TH di Kuala Lumpur

TH bagaimanapun memaklumkan, laporan berkenaan gagal dibentangkan pada tahun lalu berikutan Sidang Parlimen berakhir pada 19 Disember 2019.

“Perancangan asal untuk membentangkannya di Parlimen semasa Sidang Parlimen pada Mac 2020. Namun ia juga tidak dapat dilakukan kerana perubahan kerajaan dan penangguhan sidang Dewan Rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).”

Tabung Haji

Sehubungan itu laporan berkenaan hanya dapat dibentangkan di Parlimen setelah diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibentangkan pada 14 Ogos lalu.

Sementara itu, jelas TH, bagi Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan bagi 2019, proses pengauditan masih lagi berjalan.

“Ia akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri setelah pengauditan selesai sebelum dikemukakan ke Parlimen,” menurut kenyataan itu. — AlHijrah Online

Leave a Reply