Heineken 0.0 tidak halal, hanya untuk orang bukan Islam

Heineken 0.0 keluaran Heineken Malaysia Berhad dengan slogan ‘Now You Can’ menyasarkan pelanggan bukan Islam berusia 21 tahun ke atas.

KUALA LUMPUR – Heineken Malaysia Berhad mengulangi kenyataan penjualan minuman malt tidak beralkohol baru, Heineken 0.0 hanyalah disasarkan kepada pelanggan bukan Islam.

Ia produk bukan halal dan menyasarkan pelanggan berusia 21 tahun ke atas, seperti yang dinyatakan semasa pelancaran produk mereka dahulu dan juga dilaporkan oleh media sebelumnya.

“Semua produk Heineken 0.0 hanya boleh didapati di zon bukan halal di pasar raya dan kedai serbaneka, dengan papan tanda yang jelas menunjukkan bahawa ia hanya untuk orang bukan Islam, berumur 21 tahun dan ke atas sahaja.

“Bagi kedai tanpa kawasan bukan halal yang khas, papan tanda dipaparkan untuk memaklumkan kepada pengguna bahawa Heineken 0.0 adalah untuk bukan Islam, berusia 21 tahun ke atas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, tujuan minuman itu diperkenalkan bagi membantu pengguna bukan Islam yang ingin menyederhanakan penggunaan alkohol, namun masih boleh menikmati rasa bir tanpa kesan alkohol dan mengawal penggunaannya dalam menyeimbangkan gaya hidup mereka.

Manakala penggunaan slogan ‘Now You Can’ bermaksud ia selamat untuk dinikmati dalam apa jua acara dan keadaan.

Sebelumnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menggesa supaya pengeluar bir di negara ini untuk tidak mengelirukan pengguna, terutamanya orang Islam, dengan mengeluarkan minuman tanpa alkohol.

Ini berikutan proses menghasilkan minuman itu termasuk penyulingan dilakukan adalah sama seperti menghasilkan produk alkohol, sebagaimana maklumat yang dinyatakan melalui satu status di Facebook Jakim.

Justeru itu beliau menasihati orang Islam supaya menjauhi produk yang mempunyai status yang diragui.

Kehadiran produk ini dibincangkan di media sosial oleh orang ramai yang bimbang ia mengelirukan pembeli dari kalangan orang Islam yang menyangka ia produk halal berdasarkan slogannya.

Leave a Reply