Aplikasi RR 2.0 saluran rakyat buat aduan perkhidmatan awam

Selain membuat aduan dan maklum balas, aplikasi ini juga boleh membantu usaha membanteras gejala rasuah dalam kakitangan penjawat awam.

PUTRAJAYA – Satu aplikasi telefon pintar diperkenalkan bagi memudahkan orang awam membuat sebarang aduan dan maklum balas terhadap sistem penyampaian perhidmatan awam di negara ini.

Aplikasi yang dikenali sebagai Respons Rakyat (RR 2.0) itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dalam satu majlis di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Selain dapat mendorong kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam, aplikasi ini juga dapat digunakan untuk melaporkan gejala rasuah yang berlaku dalam kakitangan penjawat awam.

Aplikasi ini akan digunakan disemua 460 agensi kerajaan yang terdiri daripada 25 kementerian, 257 agensi kerajaan persekutuan, 13 pejabat setiausaha kerajaan negeri, 149 pihak berkuasa tempatan dan 16 syarikat utiliti.

Orang awam boleh membuat sebarang aduan melalui aplikasi mudah guna melalui telefon pintar ini.

Aplikasi telefon pintar RR 2.0 ini merupakan kemaskini bagi menggantikan aplikasi RR 1.0 yang pernah dibangunkan Biro Pengaduan Awam (BPA) pada Mei 2016.

Antara penambahbaikan yang dilakukan adalah keupayaan pegguna memuat naik video dan audio, menggunakan sistem pesanan RR Messenger untuk berkomunikasi dengan pegawai penyiasat kes, serta dapatan kajian kepuasan pelanggan.

Selain itu pengadu juga boleh mengikuti perkembangan status kes seperti yang sudah dilaporkan serta yang sedang dalam siasatan hanya dengan menggunakan aplikasi ini.

Aplikasi RR 2.0 ini boleh dimuat turun daripada App Store atau Google Play Store.

Leave a Reply