HOSPITAL SWASTA PATUH ORDINAN DARURAT TERIMA PESAKIT COVID-19

Jumlah pesakit yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) setakat ini sudah menjangkau 80 peratus.

ALOR SETAR: Beberapa hospital perubatan swasta di Kedah bersedia menerima pesakit COVID-19 bagi menampung kepadatan jumlah pesakit yang dirawat di hospital kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, jumlah pesakit yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) setakat ini sudah menjangkau 80 peratus.

Hal ini disebabkan dua lagi hospital kerajaan, Hospital Kuala Nerang dan Hospital Kulim dibuka bagi menerima pesakit COVID-19.

“Ada beberapa hospital swasta yang sudah mula menerima pesakit-pesakit COVID-19 seperti Kedah Medical Centre, Putra Medical Centre, Metro Specialist Hospital dan KPJ Kedah.

“Maknanya mereka mengikut Ordinan Darurat dimana boleh menggunakan kemudahan fasiliti yang ada di hospital swasta,” katanya semasa program menyerahkan van jenazah kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), di sini.

Dalam pada itu, Dr Hayati memaklumkan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) akan beroperasi 24 jam dan dijangka menerima pesakit COVID-19 melebihi 5,000 orang pada Mei depan.

Beliau yakin Jabatan Kesihatan Kedah (JKN) bersedia untuk menangani, dengan menubuhkan 11 buah CAC yang akan ditempatkan di setiap daerah bagi memantau pesakit COVID-19 kategori satu dan dua.

Tambahnya lagi, pihaknya juga bercadang untuk mewujudkan CAC bergerak bagi memantau pesakit dari kalangan golongan rentan atau mempunyai masalah mobilisasi.—AlHijrah Online

Leave a Reply