IBADAH UMRAH: JEMAAH MALAYSIA MASIH TIDAK DIBENARKAN

KUALA LUMPUR: Ibadah umrah bagi jemaah Malaysia masih tidak dibenarkan buat masa ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia berikutan penularan pandemik COVID-19 masih ditahap membimbangkan susulan peningkatan kes ketara bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia.

“Umrah setakat ini kita tidak benarkan lagi kerana suasana pandemik kita dalam gelombang ketiga ini cukup membimbangkan.

“Insya-Allah bila berlaku keredaan sedikit kita akan tengok keputusan yang terbaik,” katanya kepada AlHijrah Online selepas sesi wawancara khas program 60 Minit di studio TV Alhijrah.

Zulkifli juga memaklumkan sukar untuk menjangkakan tarikh jemaah Malaysia dibenarkan untuk menunaikan umrah dan perkara itu bergantung kepada keadaan semasa COVID-19.

Ujar beliau kerajaan sentiasa mengutamakan kesihatan rakyat dan akan membuat keputusan yang memberi kebaikan kepada semua pihak. — AlHijrah Online.

Leave a Reply