IBU, BAYI MAUT DALAM NAHAS KENDERAAN

IPOH: Seorang wanita dan bayinya maut sementara suaminya cedera parah dalam nahas dua kenderaan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini siang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari melibatkan mangsa Norsyahira Mohd Fadhail, 23 tahun, dan anak lelakinya, Muhammad Rayyan Nauffal Amyroul Shah Huszaiery, 3 bulan, disahkan maut di lokasi kejadian.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi dinaiki mangsa yang dipandu suaminya bertembung dengan sebuah kereta jenis Mercedes-Benz.

Katanya, pelanggaran dari arah hadapan itu mengakibatkan mangsa tersepit.

“Bomba menerima panggilan kejadian itu pada jam 12.46 tengah hari dan sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati bayi berkenaan telah dikeluarkan orang awam.

“Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan wanita dan suaminya yang tersepit,” katanya hari ini.

Ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi rawatan lanjut dan pemandu kereta Mercedes hanya mengalami kecederaan ringan.

Operasi menyelamatkan mangsa tamat pada jam 12.54 tengah hari.—AlHijrah Online

Leave a Reply