IBU BERSAMA BAYI 10 HARI TERPERANGKAP BANJIR DISELAMATKAN

ALOR SETAR: Seorang ibu bersama bayi sepuluh hari terperangkap lebih satu jam sebelum diselamatkan pasukan bomba selepas rumah mereka dinaiki air banjir di Kampung Binjai, Mukim Tajar, Alor Setar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.23 pagi tadi.

Katanya, bomba dimaklumkan terdapat dua beranak terperangkap dalam rumah selepas kawasan rumah mereka dinaiki air setinggi 0.25 meter dan operasi menyelamat dilakukan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja.

Operasi disertai seramai enam anggota menggunakan sebuah jentera dan sebuah kenderaan utiliti Pajero.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi tamat pada jam 10.27 pagi dan ibu berusia 27 tahun bersama bayi perempuan telah diserahkan kepada ahli keluarga di tempat selamat. – AlHijrah Online

Leave a Reply