Ibu trauma anak dikelar

YAN, 9 Januari – Seorang ibu trauma apabila kehilangan dua anaknya serentak malam tadi selepas dikelar oleh seorang lelaki dipercayai penagih dadah.
Menurut Sinar Harian yang menemubual Norhasyelawati Yusof, 37, ketika kejadian dia sedang tidur bersama dua anaknya di dalam bilik. Dia terbangun dari tidur apabila terdengar jeritan seorang lelaki memanggil suaminya.
Sebaik keluar bilik dia melihat abang iparnya Sobri Saad, 52, dilibas dengan parang oleh seorang lelaki.
“Saya nampak lelaki tu libas abang ipar saya dan selepas abang ipar lari keluar rumah dia menerpa ke arah saya,” katanya.
Berpantang maut sebelum ajal, Norhasyelawati terselamat apabila parang yang dilibas ke arahnya terkena kain langsir. Dia terus lari keluar rumah meminta bantuan kakak yang tinggal di bersebelahan rumahnya.
“Masa di rumah kakak, lelaki berkenaan keluar rumah dan menjerit yang dia dah selamat mandikan darah untuk anak saya,” kata Norhasyelawati sambil sebak.
Sebaik lelaki tersebut beredar, dia bergegas masuk ke dalam rumah dan menyaksikan anaknya bergelimpangan berlumuran darah.
Mangsa, Nurul Hanim Idris, 5 dan adiknya Muhamad Hafiz setahun cedera parah di bahagian leher dan kepala. Namun, anak sulungnya, Muhamad Hakim, 7 yang tidur bersama neneknya di bilik sebelah selamat tanpa gangguan.
Norhasyelawati berkata, ketika kejadian, suaminya Idris Saad, 47 tiada di rumah kerana pergi ke laut.
“Saya dah tiga hari tak sedap hati. Rasa macam berat nak tinggal anak-anak sendirian rupanya ini kejadian yang akan berlaku.

“Anak saya, Muhamad Hafiz masih lagi menyusu badan dan kehilangan ini sangat berat buat diri saya,” katanya sambil menahan sebak.
Suspek yang memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah berjaya ditahan sejurus kejadian dan direman tujuh hari bermula hari ini.