IFTAR RAHMAH RAMADAN 1444H: JUADAH BERBUKA PUASA PERCUMA UNTUK GOLONGAN MEMERLUKAN

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melancarkan Program Iftar Rahmah Ramadan 1444H yang menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma sepanjang bulan Ramadan.

Program tersebut akan disertai 70 buah masjid dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan peruntukan yang disalurkan MAIWP sebanyak RM4 juta.

JAWI dalam kenyataannya berkata, Iftar Rahmah Ramadan 1444H berkonsepkan ‘soup kitchen’ akan berpusat di masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan dengan menyediakan pek makanan pelbagai jenis menu juadah berbuka puasa setiap hari secara percuma kepada golongan sasaran yang memerlukan.

“Petugas masjid dan surau akan memasak juadah berbuka puasa secara bergotong-royong di dapur masjid dan surau serta dibungkus untuk diedarkan kepada golongan sasaran yang ditentukan dalam kalangan penduduk Projek Perumahan Rakyat, Projek Perumahan Awam, B40, Asnaf, Petugas Barisan Hadapan, dan golongan yang memerlukan.

“Tujuan utama program tersebut adalah untuk membantu meringankan beban kos sara hidup dalam kalangan ahli kariah,” katanya hari ini.

Ujarnya, program tersebut merupakan salah satu inisiatif bagi membantu meringankan beban perbelanjaan rakyat di bawah agenda Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) yang dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Program Iftar Rahmah Ramadan 1444H dijangka dapat memberikan manfaat kepada 21,000 penerima setiap hari selain jumlah keseluruhan penerima manfaat dijangkakan sepanjang program tersebut berlangsung berjumlah 630,000 orang. —AlHijrah Online

Leave a Reply