IMAM MASJID SEKSYEN 13 SHAH ALAM MENINGGAL DUNIA

SHAH ALAM: Imam Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13, Shah Alam, Ustaz Abdullah Azam Fathulrahim meninggal dunia, sebentar tadi.
Allahyarham yang juga pengurus masjid tersebut menghela nafas terakhir kira-kira jam 8.16 malam tadi di Hospital Shah Alam sebelum alat bantuan pernafasannya dihentikan.
Allahyarham yang berusia 31 tahun meninggalkan seorang isteri serta seorang anak.
Difahamkan Allahyarham telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Shah Alam kerana mengalami pendarahan di dalam kepala atau Arteriovenous Malformation (AVM).
Menurut perkongsian Muawwidz al-Ansori Dzulkefly yang juga Imam Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Al-Ikhlas malam ini.
“Para jemaah dan kenalan Almarhum boleh datang menziarahi sepanjang malam ini hingga esok pagi sehingga urusan mandi dan kafan.
“InsyaAllah solat jenazah akan diadakan pada jam 10 pagi dan selepas itu jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam,” memetik kenyataannya di Facebook. –AlHijrah Online