MEDAN PERANG TIGA SERAMPANG NYAHKAN COVID-19

Jika mengekang wabak COVID-19 ini sebuah peperangan, kita sebenarnya berdepan tiga perbatasan perang.

Dan jika salah satu daripada medan ini kita kalah, kita mungkin berdepan situasi yang menakutkan.

Untuk permulaan, bayangkan tentang situasi Itali yang merekodkan 69,176 kes COVID-19 dengan lebih 6,800 kes maut.

Bayangkan perasaan menerima berita 600 kes maut sehari akibat virus ini.

Ini semua kerana Itali secara nyata “kalah” di salah satu perbatasan perang menentang wabak pandemik global itu yang kini menular di 196 negara dan wilayah di seluruh dunia.

Ini bermakna secara rasminya COVID-19 adalah satu-satunya pandemik yang bersifat global dan menjangkiti populasi di hampir semua negara yang ada di dunia ini.

Ketika ini, terdapat 195 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk dua wilayah bukan anggota berstatus pemerhati iaitu Vatican City dan Palestin. (Tidak termasuk Taiwan, Sahara Barat dan South Ossetia yang tidak diiktiraf badan dunia itu)

Baik, berbalik kita kepada tiga perbatasan perang yang penulis maksudkan dalam peperangan COVID-19 di Malaysia yang perlu kita depani.

Menurut Datuk Dr Musa Mohd Nordin, dunia telah mengisytiharkan COVID-19 sebagai wabak.

“Dunia telah isytihar perang melawan COVID-19. Untuk menang peperangan ini, kita mesti ada strategi perang,” kata pakar perubatan itu yang tidak jemu-jemu menghantar mesej advokasi COVID-19 melalui Whatsapp kepada penulis sejak gelombang kedua COVID-19 di Malaysia bermula kurang tiga minggu lalu.

Penulis bersetuju dengan doktor Musa yang kita berdepan dengan situasi perang dengan wabak COVID-19 dan untuk menang perlu ada matlamat dan strategi jelas.

Dr Musa berkata matlamat kita perlu jelas iaitu mengurangkan beban COVID-19, turunkan kadar kematian dan mengarahkan kuasa jangkitan (Ro) kurang daripada 1.0 dan seterusnya melandaikan “lengkungan epidemik”.

Dengan cara ini, keupayaan infrastruktur & khidmat kesihatan akan ditingkatkan untuk menangani wabak COVID-19 dengan lebih efektif, seterusnya memberi masa kepada penghasilan penawar atau vaksin.

“Social distancing” atau penjarakan sosial serta MCO (Perintah Kawalan Pergerakan) pula adalah antara strategi kerajaan untuk mengekang penularan wabak ini.

Namun apakah yang menghalang dalam peperangan menentang wabak COVID-19 di negara kita?

Bill Gates sebelum ini pernah meramalkan bahawa cabaran pada tahun 2020, bukan ketakutan terhadap perang atau senjata nuklear, tetapi ancaman dalam bentuk epidemik.

Ancaman epidemik ini menjadi kompleks dengan kepesatan globalisasi apabila mobiliti (pergerakan) manusia rentas sempadan adalah tanpa had dan pantas.

Sebelum kita pergi jauh, artikel ini bukan bertujuan untuk spekulasi tapi sekadar menyatakan betapa seriusnya ancaman COVID-19 ke atas kesihatan tubuh badan dan ekonomi 30 juta rakyat Malaysia.

Tiga perbatasan perang yang penulis maksudkan adalah pertama; cabaran peperangan dengan virus itu sendiri; kedua, peperangan dengan sikap warga Malaysia dan ketiga; penyebaran berita palsu.

Jika kalian pernah menonton filem “World War Z”, musuh dalam filem itu adalah wabak penyakit yang menukarkan manusia kepada mayat hidup atau zombie.

Tidak seperti koronavirus, mereka yang dijangkiti virus dalam filem itu adalah jelas iaitu dalam bentuk zombie. (jangkitan adalah melalui gigitan zombie itu sendiri)

Berbeza dengan koronavirus yang hanya bersaiz nanometer, ia mudah tersebar melalui titisan cecair yang keluar apabila seseorang individu dijangkiti batuk atau bersin. Kerana itu kontak rapat dengan individu dijangkiti, perlu dijauhkan.

Lebih merumitkan apabila simptomnya bermula dari demam, batuk dan selsema hinggalah sesak nafas (kebiasaannya pada peringkat ini barulah seseorang individu itu mendapatkan rawatan) dengan tempoh inkubasi sehingga 14 hari.

Dengan kata lain, kita berdepan dengan musuh yang kita tidak nampak dan tanpa sedar kebebalan kita mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19, adalah punca talian hayat (baca agen penular) wabak itu sendiri.

Hasrat kita untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak itu menjadi sebaliknya, dengan kebebalan dan kedegilan segelintir pihak.

Medan perang ini amat merumitkan kecuali seseorang individu itu peka dan benar-benar faham mengenai koronavirus dengan mengamalkan “penjarakan sosial”, strategi yang dianggap ampuh menentang COVID-19.

Medan kedua dalam peperangan COVID-19 di Malaysia adalah sikap acuh tak acuh warga kita.

Bayangkan, selepas hari kelapan PKP dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu, masih terdapat lima peratus atau bersamaan 1.5 juta warga Malaysia yang memandang remeh perintah kawalan pergerakan.

Misalnya, ada yang dilaporkan cuba keluar dari Jambatan Pulau Pinang ke tanah besar dengan berbagai-bagai alasan.

Hal sama (sikap acuh tak acuh rakyat) berlaku di Itali kurang dua minggu yang lalu, sehinggalah negara itu mencatatkan jumlah kematian tertinggi akibat COVID-19 iaitu 6,800 maut berbanding China dengan 3,281 kematian.

Kredit foto MINDEF/PDRM

Tanpa kita sedar dengan 1,796 kes jangkitan COVID-19 dan 21 individu maut setakat ini, Malaysia berada di tangga ke-22 dunia dan berada di carta pertama dalam kalangan negara Asia akibat jangkitan wabak itu.

“Tujuh hari lalu, jumlah keseluruhan kes COVID-19 ialah 673 kes. Ini bermakna, kes positif COVID-19 telah meningkat sekali ganda dalam tempoh satu minggu,” kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam amanat khasnya semalam.

Medan ketiga dalam peperangan menentang COVID-19 adalah penularan berita palsu yang semakin menjadi-jadi muktahir ini sehingga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta organisasi media meningkatkan advokasi mengenainya.

Bayangkan dalam tempoh seminggu dua ini terdapat 43 penyebaran berita palsu COVID-19.

Daripada kes itu, SKMM telah mengenalpasti 18 suspek termasuk seorang selebriti yang sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” kata SKMM dalam kenyataan yang dilaporkan media tempatan.

Berita palsu, misalnya tentang perintah berkurung yang menyebabkan orang ramai panik membanjiri pasaraya untuk membeli stok makanan hanya menambah kerumitan.

Penulis tidak faham kenapa penularan berita palsu ini berlaku dalam keadaan situasi genting ini.

Barangkali, penjelasan yang paling dekat adalah kemungkinan ledakan penggunaan media sosial yang membolehkan netizen menjadi pelapor sehingga mengenepikan fakta, semata-mata untuk menjadi yang pertama dan terpantas serta glamour.

Ini berbeza dengan pengamal media profesional yang beretika dan bukan hanya mengejar ratings, like dan view (tontonan).

Sikap suka “forward” tanpa memeriksa kesahihan sesuatu perkara harus diharamkan dalam kamus kehidupan kita.

Apa yang pasti, kita tidak mahu negara ini menjadi seperti Itali. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga tidak mahu ramalan JP Morgan bahawa Malaysia dijangka mencatat 6,000 kes positif menjelang April, menjadi kenyataan.

Kita juga tidak mahu doktor-doktor kita terperangkap di dalam situasi yang terpaksa memilih individu mana yang perlu diselamatkan atau dibiarkan mati kerana kes yang terlampau tinggi dan kritikal sepertimana berlaku di China sebelum ini.

Dalam memastikan kemenangan menentang COVID-19, semua pihak harus memainkan peranan di tiga medan perang ini.

Untuk menang dalam peperangan ini, kita bukan hanya perlu duduk di rumah tetapi harus ambil peduli.

Rujuk sumber yang sahih dan mereka yang pakar. Hanya dengan cara itu, wabak COVID-19 mampu dikalahkan.

Allah berfirman, maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui (16: 43).

Akhir kalam, ini bukanlah cerita zombie. Apa yang kita lalui adalah realiti. Wallahualam. – AlHijrah Online

Penulis adalah Editor & Penerbit AlHijrah Media Corporation.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply