PENANGGUHAN SEMUA AKTIVITI DI MASJID DAN SURAU DILANJUTKAN HINGGA TAMAT PKP – ZULKIFLI

KUALA LUMPUR: Semua aktiviti di masjid dan surau, termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah, perlu ditangguhkan sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Perkara itu itu dicadang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri selaras dengan pengumuman kerajaan hari ini bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Zulkifli menyeru umat Islam di negara ini untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya mereka mendirikan solat di rumah atau tempat masing-masing.

Katanya, perkara itu amat penting untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19 di seluruh negara dengan izin Allah swt.

“Perdana Menteri hari ini mengumumkan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020. Ini berdasarkan perkembangan semasa peningkatan kes-kes positif COVID-19.

“Melihat kepada ini, saya dengan rendah hati mencadangkan agar penangguhan aktiviti masjid dan surau, termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah perlu untuk dilanjutkan sehingga berakhirnya tempoh PKP,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulkifli berkata tindakan itu selaras dengan Resolusi Dalam Talian Ahli-Ahli Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 20 Mac lalu yang telah bersetuju untuk mengambil ketetapan penangguhan aktiviti di masjid mengikut arahan Kerajaan.

“Saya menyerahkan pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa agama Islam di setiap negeri,” kata menteri hal ehwal agama itu merujuk kepada bidang kuasa negeri dalam menguatkuasakan penangguhan aktiviti di masjid dan surau.

Beliau berharap umat Islam dapat mematuhi arahan ini dengan menunaikan solat zohor pada hari Jumaat dan juga solat fardhu di rumah atau di tempat masing-masing.

Malaysia kini mencatatkan 1,796 kes jangkitan COVID-19 dengan 19 kematian akibat wabak pandemik global itu.

Daripada jumlah, sebanyak 199 kes telah sembuh dan didiscaj daripada hospital. — AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply