PERANCIS BERGELUT KEKANG COVID-19, LEBIH 1,000 KES MAUT

PARIS: Ketua Pengarah Kesihatan Perancis, Jerome Salomon hari ini mengumumkan 1,100 individu didiagnos dengan COVID-19 meninggal dunia dengan peningkatan 240 kes jangkitan dalam sehari ketika Perancis masuk minggu kedua perintah berkurung di seluruh negara.

Pertambahan 2,444 kes positif dikesan menjadikan keseluruhan 22,300 kes COVID-19 di negara itu.

Sebanyak 10,176 rakyat perancis kini dimasukkan ke hospital, termasuk 2,516 di unit rawatan rapi (ICU) dengan 3,281 pesakit telah sembuh, kata Salomon dalam taklimat harian dipetik agensi berita Anadolu.

Lebih satu pertiga pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan berumur di bawah 60 tahun dan 85 peratus maut berumur 70 tahun ke atas.

Berdepan epidemik yang semakin meruncing, Perancis akan menjalankan 10,000 ujian saringan menjelang hujung minggu ini berbanding 9,000 saringan ketika ini, demikian menurut Salomon.

Katanya, tren berkelajuan tinggi TGV akan memindahkan 20 pesakit dalam keadaan kritikal dari bandar timur Strasbourg ke hospital-hospital di Angers, Nimes, Nantes dan La-Roche-sur-Yon di barat Perancis hari ini bagi mengurangkan beban hospital di wilayah timur Grand yang terjejas teruk.

“Kami menghadapi penularan virus yang serius, cepat dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Duduk di rumah untuk mengelakkan lebih banyak kematian, lebih banyak kes kritikal,” kata Salomon menjelaskan kesan kawalan pergerakan akan dinilai dalam tempoh beberapa hari lagi.

Perancis kini berada dalam minggu kedua perintah berkurung. Hanya pergerakan untuk tujuan kerja, keperluan kesihatan atau membeli keperluan sahaja dibenarkan.

Awal Selasa lalu, majlis saintifik menasihatkan mengesyorkan Kerajaan memanjangkan tempoh pembendungan sekurang-kurangnya enam minggu dengan menegaskan tempoh tiga minggu diperlukan untuk memperoleh anggaran awal impak.

Bercakap selepas mesyuarat majlis di Istana Elysee, Menteri Kesihatan Olivier Vera menyeru semua pihak “berhati-hati.”

“Kita akan tahu bila kita boleh menghentikan perintah berkurung apabila lengkungan epidemik membenarkannya, ia akan terus dikuatkuasakan selagi diperlukan,” katanya.

Perancis mengarahkan penutupan semua institusi dan muzium awam di seluruh negara, menghentikan acara sukan, menutup kedai-kedai yang tidak penting seperti kafe, restoran, pawagam dan kelab malam.

Bermula Selasa lalu, Perancis mengetatkan peraturan di bawah perintah berkurung. Rakyat hanya dibenarkan keluar dengan anak-anak mereka atau bersenam sekali sehari selama satu jam dalam jarak satu kilometer dari rumah mereka. — Terjemahan AlHijrah Online/ Zamir Akmal Zambri

Leave a Reply