Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PERANCIS TERUSKAN USAHA ANJURKAN PERSIDANGAN PBB MENGENAI GAZA

DUNIA

PERANCIS TERUSKAN USAHA ANJURKAN PERSIDANGAN PBB MENGENAI GAZA

Axel Cruau — fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Perancis tetap meneruskan rancangan untuk menganjurkan persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Gaza minggu depan, sambil menegaskan sokongan terhadap penyelesaian dua negara walaupun menerima tentangan daripada beberapa pihak.

Duta Perancis ke Malaysia Axel Cruau berkata Paris kekal komited dalam memajukan agenda keamanan melalui persidangan itu.

“Kami sedar akan tentangan daripada beberapa negara tetapi amat penting untuk terus mengekalkan perspektif penyelesaian dua negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi Perancis-Malaysia 2025 di sini, pada Khamis.

“Jadi percayalah pada Perancis untuk terus memperjuangkannya, walau apa pun tentangan, bersama semua rakan baik,”katanya lagi.

Cruau berkata demikian sebagai mengulas laporan media bahawa pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah memberi amaran kepada kerajaan-kerajaan di seluruh dunia agar tidak menghadiri persidangan itu, malah mengancam negara yang mengambil tindakan “anti-Israel” dan bertentangan dengan dasar luar AS. 

Persidangan yang dijadual berlangsung di New York dari 17 hingga 20 Jun itu dianjur bersama oleh Perancis dan Arab Saudi, dan bertujuan memperkukuh usaha global ke arah mencapai penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin.

Menurut nota konsep daripada pengerusi bersama, persidangan itu akan merangkumi sesi pleno, ucapan intervensi dan lapan meja bulat bertema yang memberi tumpuan kepada dimensi kritikal dalam penyelesaian dua negara.

Cruau mengakui hasil persidangan itu masih belum dapat dijangka, namun menegaskan bahawa penyertaan dan komitmen kolektif adalah yang paling penting.

“Penting untuk kita semua hadir bersama-sama, bagi memperjuangkan penyelesaian itu dan memastikan ia terus diperjuangkan,” katanya, sambil menekankan kepentingan penglibatan Malaysia dalam persidangan berkenaan.

“Usaha mendapatkan keamanan dan keselamatan kadangkala memerlukan negara membuat keputusan berani secara kolektif,” katanya lagi.

Lebih 55,000 orang terbunuh dalam pembunuhan beramai-ramai yang berterusan oleh rejim Israel di Gaza sejak 7 Oktober 2023, menyebabkan wilayah itu musnah teruk dan berdepan krisis kemanusiaan yang amat dahsyat. —AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading