IPD RANAU SEDIAKAN KAWASAN PELAJAR JALANKAN PDPR

RANAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau membantu pelajar sekolah untuk mendapatkan capaian Internet bagi melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), dengan membersihkan kawasan dan membina khemah di atas bukti setinggi 100 meter, di Kampung Paus.

Menurut Ketua Polis Daerah Ranau DSP Sammy Newton, pihaknya menyediakan khemah di atas bukit di dalam ladang kelapa sawit bagi mendapatkan isyarat Internet yang baik, untuk memudahkan proses PdPR terhadap lebih 30 pelajar di kampung itu berjalan lancar.

“Semua peralatan khemah lengkap dengan meja dan kerusi adalah sumbangan daripada pegawai dan anggota IPD Ranau selain menyumbangkan pelitup muka, cecair sanitasi tangan dan bakul makanan untuk pelajar di situ,” katanya kepada media.

Mengulas lanjut, Sammy memaklumkan khemah berkenaan dibina pada Jumaat lepas hasil gotong-royong petugas di IPD Ranau bagi menyediakan keselesaan kepada pelajar dan secara tidak langsung memberi kelegaan kepada ibu bapa di kampung berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr Mistirine Radin, memuji usaha IPD Ranau yang turut membantu melancarkan proses PdPR meskipun kekangan capaian kemudahan Internet.

“Bantuan itu sangat diperlukan oleh pelajar yang sanggup ke lokasi bagi memudahkan mereka mendapat talian Internet dan pesanan pembelajaran daripada guru sekolah,” katanya.

Tambah Dr Mistirine, dengan cara itu, pelajar dapat menerima dan menghantar semula latihan yang telah disemak oleh guru masing-masing melalui aplikasi WhatsApp yang paling popular digunakan pada masa kini.—AlHijrah Online

Leave a Reply