IRAN MOHON MAAF TEMBAK JATUH PESAWAT UKRAINE

ANKARA: Presiden Iran meminta maaf kepada rakan sejawatnya di Ukraine berhubung insiden “tidak sengaja” menembak pesawat penumpang Ukraine awal minggu ini yang meragut nyawa kesemua 176 penumpang, demikian menurut kenyataan Presiden Ukraine.
Agensi berita Anadolu melaporkan Presiden Iran, Hassan Rouhani dan Plresiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy telah mengadakan satu perbualan telefon yang dimulakan oleh Iran, demikian menurut kenyataan itu.
“Presiden Republik Islam Iran mengaku sepenuhnya bahawa tragedi itu adalah disebabkan oleh tindakan silap tentera negaranya,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, Tehran memberi jaminan “semua yang terlibat dengan insiden malang itu akan dipertanggungjawabkan oleh Iran”.
“Yang paling penting bagi kita ialah pemulangan mayat mangsa kepada Ukraine pada 19 Januari minggu depan supaya ahli keluarga mereka dapat melakukan penghormatan terakhir,” tegas Zelenskiy.
Kementerian Luar Negeri Ukraine akan “menghantar nota yang jelas dengan langkah-langkah susulan, termasuk aspek undang-undang berkait isu pampasan,” kata kenyataan itu yang menambah bahawa pihak Iran bersetuju dengan Ukraine dalam hal itu.
Terdahulu, Iran mengaku bahawa pesawat udara Ukraine itu tidak sengaja ditembak peluru berpandu Iran.
Minggu lalu, Amerika Syarikat (AS) membunuh Jeneral Iran, Qasem Soleimani dalam serangan dron di ibu negara Iraq, Baghdad. Sebagai reaksi balas, Iran melancarkan lebih sedozen peluru berpandu balistik yang menyasarkan pangkalan tentera AS di Iraq pada 8 Januari. — Terjemahan AlHijrah Online