
ISTANBUL: Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi Iran mengumumkan penubuhan zon pengawasan maritim di Selat Hormuz yang mewajibkan kapal mendapatkan kebenaran serta berkoordinasi dengan pihak berkuasa sebelum melalui laluan strategik itu.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di platform X pada Rabu, pihak berkuasa berkenaan turut menetapkan sempadan pengurusan dan pengawasan bagi zon baharu tersebut.
Zon itu meliputi kawasan dari Kuh-e Mubarak di Iran hingga ke selatan Fujairah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) di pintu masuk timur Selat Hormuz. Di bahagian barat pula, kawasan berkenaan merangkumi dari hujung Pulau Qeshm milik Iran hingga ke Umm al-Quwain di UAE.
Pihak berkuasa itu turut menerbitkan peta bagi menunjukkan kawasan yang termasuk dalam zon pengawasan baharu tersebut.
Langkah itu dibuat ketika ketegangan di rantau berkenaan terus memuncak susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran pada Februari lalu.
Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan yang menyasarkan Israel serta sekutu AS di rantau Teluk, selain menutup Selat Hormuz.
Gencatan senjata yang dimeterai melalui pengantaraan Pakistan mula berkuat kuasa pada 8 April, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan persetujuan berkekalan.
Presiden AS, Donald Trump, kemudian melanjutkan tempoh gencatan senjata tanpa had masa sambil mengekalkan sekatan terhadap kapal yang menuju ke atau keluar dari pelabuhan Iran melalui laluan perairan strategik itu. — AlHijrah Online