
BRUSSELS/ISTANBUL: Itali memanggil duta Israel bagi menyuarakan bantahan terhadap layanan ke atas aktivis flotila bantuan ke Gaza serta menuntut pembebasan segera rakyatnya yang masih ditahan, menurut Kementerian Luar negara itu pada Rabu.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Itali, Duta Riccardo Guariglia, memanggil Duta Israel, Jonathan Peled dan menyampaikan bantahan keras kerajaan Itali berhubung insiden berkenaan.
Dalam pertemuan itu, Guariglia menuntut supaya semua rakyat Itali yang masih ditahan dibebaskan segera dan dihantar pulang secepat mungkin.
Beliau turut mengulangi pendirian Menteri Luar Itali, Antonio Tajani yang menyifatkan insiden itu sebagai tidak boleh diterima, terutama kerana aktivis terbabit tidak bersenjata dan tidak mempunyai niat melakukan keganasan.
Menurut kenyataan kementerian, Guariglia menegaskan bahawa campur tangan di perairan antarabangsa adalah isu serius serta melahirkan kemarahan terhadap rakaman yang tersebar sejak beberapa jam lalu.
Kementerian Luar Itali memaklumkan bahawa negara itu berhak mempertimbangkan langkah politik yang sesuai termasuk di peringkat Eropah.
Terdahulu, Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni dan Tajani turut mengkritik insiden berkenaan.
“Imej Menteri (Keselamatan Negara) Israel (Itamar) Ben-Gvir tidak boleh diterima. Adalah tidak boleh diterima apabila penunjuk perasaan ini (aktivis GSF), termasuk ramai rakyat Itali, dilayan sedemikian rupa sehingga mencabuli maruah kemanusiaan mereka,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Kerajaan Itali turut memaklumkan bahawa tindakan segera sedang diambil di peringkat tertinggi bagi memastikan pembebasan rakyatnya yang terlibat dalam insiden itu.
Rom juga menuntut permohonan maaf berhubung layanan terhadap aktivis serta menyifatkan sebagai pengabaian terhadap permintaan jelas yang dikemukakan oleh pihak Itali.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto menerusi platform X berkata, tindakan Ben-Gvir tidak memberi manfaat kepada kepentingan Israel.
“Kami berbangga kerana sentiasa melayan rakyat Israel dengan hormat dan tidak mempunyai amalan menahan orang di perairan antarabangsa. Sebaliknya, kami membantu menyelamatkan mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan video yang dimuat naik Ben-Gvir di media sosial, yang memaparkan aktivis ditahan dengan tangan diikat dan dipaksa berlutut selepas ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa.
Pada Selasa, Global Sumud Flotilla memaklumkan bahawa kesemua 50 kapal dalam konvoi bantuan kemanusiaannya telah dirampas oleh Israel. — AlHijrah Online