Connect with us

ALHIJRAH NEWS

BURUH ROHINGYA DIDAKWA SAMUN RUMAH RAZIF SIDEK

JENAYAH

BURUH ROHINGYA DIDAKWA SAMUN RUMAH RAZIF SIDEK

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tiada kad UNHCR yang sah untuk dipertimbangkan oleh mahkamah dan menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes.

KUALA LUMPUR: Seorang buruh warga Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menyamun kediaman legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek dengan bersenjatakan pisau, bulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Fawyas Yasin, 27, didakwa melakukan samun terhadap harta milik Datuk Mohamad Razif Mohd Sidek, 64, di sebuah rumah di Jalan Damansara, Taman Tun Dr Ismail pada jam 12.20 tengah hari, 19 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu adalah serius selain kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik tertuduh telah tamat tempoh.

“Sekiranya jaminan dibenarkan dan tertuduh tidak hadir ke mahkamah, sukar untuk menjejaki keberadaannya memandangkan dia tidak mempunyai alamat tetap. Selain itu, tertuduh juga mengetahui alamat mangsa dan saksi, jadi dikhuatiri saksi-saksi akan diganggu,” katanya.

Sementara itu, peguam Mansheel Kaur yang mewakili Mohamad Fawyas memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai buruh dan memperoleh pendapatan RM50 sehari selain perlu menyara isteri yang tidak bekerja serta seorang anak berusia 10 bulan.

“Tertuduh tinggal di negara ini selama 15 tahun dan berhubung dengan kad UNHCR, kad tersebut dalam proses untuk diperbaharu,” kata peguam itu.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tiada kad UNHCR yang sah untuk dipertimbangkan oleh mahkamah dan menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in JENAYAH

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading