ISU KALIMAH ALLAH: TIADA KOMPROMI PIHAK TERBUKTI HINA AGAMA ISLAM – MOHD NA’IM

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti membuat tindakan yang menghina agama Islam seperti penggunaan kalimah Allah SWT ditempat yang tidak sepatutnya.

Menterinya Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata adalah menjadi tanggungjawab pihaknya untuk menjaga kesucian agama Islam dan maslahah umat Islam di Malaysia.

“Susulan pertemuan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Pengasas dan Pengarah Urusan Vern’s Holding Sdn Bhd, Ng Chuan Hoo pagi tadi berkaitan isu dakwaan terdapat kalimah Allah pada kasut keluaran syarikat itu, adalah dimaklumkan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyerahkan proses selanjutnya kepada siasatan pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“JAKIM telah diarah untuk memberikan kerjasama penuh kepada PDRM dalam melengkapkan siasatan. 

“Sekiranya terdapat elemen yang bertentangan dengan undang-undang, maka proses selanjutnya akan diambil oleh pihak PDRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan isu terbaru ini pihaknya mahu semua pihak mengambil pengajaran dan memastikan ianya tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Dalam masa terdekat, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga akan mengadakan pertemuan bersama pihak Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) serta pihak berkuasa seperti PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan lain-lain pihak berkaitan bagi menyelaras tindakan bersepadu untuk menangani isu terbabit.

“Kami menasihatkan semua pihak untuk sentiasa bertenang serta tidak mengambil apa-apa langkah melulu yang bertentangan dengan undang-undang negara. Semua tindakan adalah berasaskan fakta dan bukti kukuh.

“Adalah menjadi kewajipan semua pihak untuk menjaga akhlak dan tingkah laku agar keharmonian dan perpaduan dalam negara sentiasa terpelihara,” katanya. — AlHijrah Online

Leave a Reply