JAKIM ANJUR HALAL ON TRACK BERSAMA TPM, BIMBING USAHAWAN BERKAITAN PENSIJILAN HALAL

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan program Halal on Track bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 9 Oktober ini.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata program itu adalah hasil cetusan idea dan inspirasi timbalan perdana menteri semasa merasmikan Halal Sectoral Forum pada 13 September 2023.
“Ia merupakan manifestasi komitmen JAKIM untuk membantu pemain industri di Malaysia agar memahami dengan lebih mendalam berkaitan proses permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), bermula daripada peringkat persediaan (pra pensijilan) hingga kepada pengeluaran SPHM.
“Ia juga antara lain merupakan platform strategik bimbingan halal secara bersepadu kepada usahawan untuk mematuhi standard dan piawaian halal yang ditetapkan oleh JAKIM sebelum mengemukakan permohonan SPHM.
“Langkah ini adalah sebahagian dari usaha yang dilakukan oleh JAKIM ke arah menyahut saranan Kerajaan yang mahu proses kelulusan sijil halal dipercepatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya program di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur bermula jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang itu akan mempunyai pelbagai pengisian bermanfaat yang telah disusun.
Antaranya melibatkan sesi ceramah yang menyentuh pelbagai topik perbincangan antaranya permohonan pensijilan halal Malaysia, kesediaan industri untuk melaksanakan pensijilan halal, sistem mengukur tahap kesediaan pensijilan halal syarikat dan pembangunan Halal Management System.
Oleh itu JAKIM menjemput semua pihak berkaitan khusunya para pemain industri untuk hadir dan mengambil peluang dan ruang yang disediakan bagi mendapatkan maklumat berkaitan pensijilan halal Malaysia serta menjadikan platform strategik ini sebagai medium untuk mempelajari dan menambah sebanyak mungkin informasi serta pengetahuan dalam ‘one to one session’ secara percuma. — AlHijrah Online