JAKIM BANGUNKAN PLATFORM ALTERNATIF UNTUK AKSES APLIKASI HIJRAH DIRI

Tangkap layar AlHijrah Online bertarikh 17 Mac lalu.

TAIPING: Aplikasi Hijrah Diri yang dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mempunyai platform digital sendiri bagi membolehkan ia boleh terus beroperasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, usaha itu dibuat selepas perbincangan dengan pihak Google tidak memberi perkembangan positif.

“Kita sudah berbincang dengan pihak Google, namun nampaknya mereka masih berkeras untuk membuang aplikasi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Ihya’ Ramadhan 1443h di Dewan Bunga Raya Changkat Jering, Taiping, hari ini.

Menurut Idris, beliau mahu aplikasi yang diperkenalkan oleh JAKIM bersama Yayasan Ihtimam Malaysia itu terus beroperasi kerana aplikasi itu untuk kebaikan iaitu mengajak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kembali kepada fitrah diri.

Katanya, aplikasi itu bertujuan menarik manusia kembali kepada fitrah diri apatah lagi menjelang bulan Ramadan yang mulia.

Pada 9 Mac lalu, aplikasi Hijrah Diri telah dilancarkan bagi memantau golongan LGBT untuk kembali kepada fitrah masing-masing.

Aplikasi itu mengandungi wirid al-ma’thurat, doa dan zikir terpilih yang warid daripada Nabi Muhammad SAW, kertas kerja berkaitan isu LGBT menurut perspektif Islam serta tazkirah dalam bentuk audio selain mengandungi kisah penghijrahan individu yang meninggalkan perlakuan homoseksual.

Namun, aplikasi tersebut telah dikeluarkan daripada Google Play selepas mendapat maklum balas negatif daripada pihak-pihak tertentu yang mendakwa ia merupakan satu bentuk ‘conversion therapy’ atau terapi penukaran. –AlHijrah Online

Leave a Reply