HAJI 2022: KUMPULAN JEMAAH TAHUN 2020, 2021 DIBERI KEUTAMAAN

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad (dua, kanan) pada majlis Sumbangan Ihya’ Ramadan kepada masjid, surau, pondok, tahfiz, SAR Pendidikan dan Rumah Anak Yatim Parlimen Bukit Gantang di Dewan Bunga Raya, Changkat Jering hari ini. –Sumber foto: BERNAMA

TAIPING: Kumpulan jemaah haji tahun 2020 dan 2021 akan diberi keutamaan sebagai senarai yang akan mengerjakan ibadah musim haji 1443 Hijrah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, kumpulan jemaah terbabit akan mendahului senarai menunaikan haji pada musim ini mengikut sistem penggiliran ditetapkan.

“Kita akan utamakan mereka yang sepatutnya giliran tahun 2020, lepas penuh giliran itu baru kita masukkan yang giliran tahun 2021,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Ihya’ Ramadhan 1443h di Dewan Bunga Raya Changkat Jering, Taiping, hari ini.

Menurut Idris, individu yang mendaftar haji lebih awal akan mendapat giliran terlebih dahulu.

Bagaimanapun katanya, bilangan jemaah haji pada tahun ini akan mengikut kuota diberikan kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia, namun setakat ini belum ada kuota khusus ditetapkan.

Idris berkata, beliau sangat berharap kerajaan Arab Saudi akan memberi keputusan segera berhubung kuota haji namun memahami kekangan yang dihadapi mereka.

Ujarnya, dengan prestasi membanggakan Tabung Haji dalam pengurusan jemaah haji sehingga menjadi penanda aras di rantau Asia, beliau optimis boleh mendapat perkhabaran positif namun mengharapkan bakal jemaah Malaysia dapat menanti dengan penuh sabar dan reda. –AlHijrah Online

Leave a Reply