JAKIM GALAK PAKAI PELITUP MUKA KETIKA SOLAT SUNAT AIDILFITRI

KUALA LUMPUR: Umat Islam yang menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau digalakkan untuk memakai pelitup muka sebagai langkah berwaspada terhadap jangkitan COVID-19.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) pemakaian pelitup muka bagi jemaah yang akan menunaikan solat Aidilfitri di masjid atau surau.
“Setelah merujuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), dimaklumkan bahawa SOP Fasa Peralihan ke Endemik yang sedang berkuatkuasa pada masa ini amat menggalakkan pemakaian pelitup muka sekiranya berada di kawasan ramai orang dan sesak.
“Memandangkan SOP ini masih berkuatkuasa maka JAKIM ingin menasihatkan kepada semua umat Islam agar mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati dengan kawalan kendiri sekiranya mereka berada di mana-mana tempat perkumpulan ramai dan sesak termasuk di masjid dan surau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabah semalam antara negeri yang menyarankan umat Islam membawa sejadah sendiri dan mengambil wuduk di rumah sebelum ke masjid atau surau untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Menurut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Saifulzaman Sangul saranan itu bagi membendung penularan COVID-19. – AlHijrah Online