JANGAN ABAI PELAJARAN SEBAB MAHU JADI ‘CONTENT CREATOR’ – KHAIRUL AMING

Sumber Gambar: Twitter Khairul Aming

KUALA LUMPUR: Golongan muda yang ingin menjadi pencipta kandungan (content creator) diingatkan untuk tidak mengabaikan pengajian dan mengumpul ilmu sebanyak mungkin dengan menamatkan pembelajaran terlebih dahulu.

Pempengaruh media sosial, Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali Khairul Aming, 31, berkata, untuk menjadi seorang ‘content creator’ bukan hanya sekadar tular sahaja, tetapi perlu mempunyai pengetahuan yang banyak sebelum tampil ke khalayak ramai.

“Kepada TikTok Creator muda-muda yang baru mula, terutama yang masih tengah belajar, saya mohon sangat-sangat untuk tamatkan pembelajaran dahulu.

“Jangan tergesa-gesa, kumpul ilmu sebanyak mungkin, bila sudah bersedia, tampillah ke hadapan untuk menjadi ‘content creator’, kongsilah ilmu kepada masyarakat,” katanya semasa ditemui selepas acara Anugerah Tik Tok Awards 2023, di sini malam semalam.

Terdahulu Khairul Aming telah dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori People’s Choice: Creator Of The Year di TikTok Awards Malaysia.

Beliau telah menerima 1.3 juta undian untuk memenangi anugerah itu.

Sementara itu, Khairul Aming berkata melalui pengaruh di media sosial yang dimiliki ia bukan sahaja memanfaatkan dirinya tetapi beliau tidak lupa untuk menyediakan peluang pekerjaan bagi merancakkan ekonomi setempat menerusi TikTok Shop.

“Live TikTok Shop peluang untuk berniaga yang hanya bukan membantu saya, tetapi rezeki yang saya kongsikan dengan pekerja saya, pembekal saya.

“Ekonomi kecil ini saya mampu sertai selain membuka peluang pekerjaan di Kota Bharu, Kelantan,” katanya.

TikTok Awards Malaysia yang pertama kali diadakan di Malaysia menampilkan 13 kategori antaranya  Best of Foodie; Popular Animation Account of The Year; TikTok Shop Creator of The Year dan banyak lagi.—AlHijrah Online

Leave a Reply