JANGKITAN INFLUENZA DI MALAYSIA TIADA KAITAN DENGAN ‘NOVEL CORONAVIRUS’ DI CHINA

Last Updated on

4

KUALA LUMPUR: Situasi jangkitan influenza di Malaysia tiada kaitan dengan kejadian wabak coronavirus baharu (novel coronavirus) di Wuhan, China, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata berdasarkan pemantauan, buat masa ini tiada kes yang disyaki ´novel coronavirus´ dilaporkan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun katanya, KKM akan terus mengukuhkan pemantauan dan kesiapsagaan bagi menghadapi potensi penularan wabak ´novel coronavirus´ yang dilaporkan di Wuhan, China itu.

“Situasi jangkitan influenza yang dilaporkan di Malaysia sekarang ini adalah terkawal dan tiada kaitan dengan wabak tersebut.

“KKM akan terus memantau situasi kejadian penyakit radang paru-paru ini dan sebarang perkembangan daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara langkah-langkah kesiapsiagaan yang dilaksanakan adalah memberi penekanan dan memperkukuhkan aktiviti saringan demam sedia ada dalam kalangan pengembara oleh anggota-anggota yang bertugas di pintu masuk antarabangsa negara bagi menghadapi potensi penularan penyakit tersebut.

“Pengembara yang dikesan mengalami demam dan bergejala, pemeriksaan akan dilakukan semula di pusat kuarantin kesihatan atau tempat pemeriksaan di pusat masuk antarabangsa negara. Saringan pesakit di Klinik Kesihatan dan Jabatan Kecemasan hospital diperkukuhkan bagi memastikan kes-kes disyaki dirujuk dengan mematuhi langkah-langkah pencegahan,” katanya.

Menurutnya seseorang yang mengalami gejala penyakit respiratori akut dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari Wuhan, China dinasihatkan pergi ke fasiliti kesihatan untuk menjalani pemeriksaan.

“Sekiranya terdapat kes disyaki yang dikesan dari mana-mana fasiliti kesihatan, kes perlu dilaporkan dengan segera kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri dan Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) KKM.

“KKM turut memperkukuhkan keupayaan menjalankan ujian pengesanan dan pengesahan ´novel coronavirus´ menerusi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK),” katanya.

Dr Noor Hisham turut menasihati anggota KKM supaya menggunakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) manakala simpanan stok bagi PPE itu serta ubat-ubatan perlu dipastikan mencukupi untuk menampung keperluan di fasiliti kesihatan masing-masing.

Pada 12 Jan lepas, WHO mengesahkan bahawa kejadian kluster radang paru-paru (pneumonia) di Wuhan, China, disebabkan jangkitan ‘novel coronavirus’ yang sebelum ini tidak pernah dikenal pasti atau dikesan pada manusia dan cara penularannya masih dalam siasatan.

Sehingga kini, sebanyak 41 kes radang paru-paru yang dilaporkan di Wuhan adalah positif ‘novel coronavirus’ dan satu kematian telah dilaporkan dengan tujuh kes berada dalam keadaan kritikal manakala kes-kes lain adalah stabil. — BERNAMA

Leave a Reply