JEMAAH TERKEJUT MENARA TELEKOMUNIKASI TUMBANG NYARIS TIMPA SURAU

IPOH: Jemaah Surau Diri Jumaat Al-Ansar, Bandar Seri Botani di Ipoh yang sedang menunaikan solat Asar petang semalam dikejutkan dengan kejadian menara stesen pemancar telekomunikasi tumbang.

Kejadian ribut yang berlaku mengakibatkan menara setinggi 30 meter itu tumbang lalu menghempap kabin yang menjadi tempat tinggal siak yang terletak di belakang surau berkenaan.

Menurut Ahli Jawatankuasa surau, Semsudin Abu Beker, 71, berkata ketika kejadian seramai 15 jemaah sedang menunaikan solat Asar di surau tersebut.

“Ketika itu rakaat kedua semua jemaah dengar bunyi dentuman kuat. Sebaik sahaja selesai solat, kami bergegas keluar dan lihat menara di belakang surau tumbang.

“Kabin yang ada di belakang surau rosak. Mujurlah tiada sesiapa di dalam sebab siak surau tinggal di situ,” katanya.

Sementara itu pengerusi surau, Mohd Fadzli Ahmad berkata, kerugian yang dialami susulan kerosakan kabin itu berjumlah kira-kira RM20,000.

Jelasnya, kabin tersebut sebelum ini digunakan sebagai surau sementara pada tahun 2012 dan selepas dinaik taraf kepada Surau Diri Jumaat, kabin itu didiami siak yang bertugas di surau berkenaan.

Sementara itu, Exco Belia, Sukan Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed yang melawat surau berkenaan memaklumkan kawasan tersebut telah ditutup dan bekalan elektrik turut dipotong bagi langkah keselamatan sementara kerja-kerja pembaikan siap.

Katanya, menara telekomunikasi sementara atau Portable Base Transceiver Station (PBTS) juga akan dipasang segera bagi menambah baik perkhidmatan telekomunikasi dan internet yang membabitkan hampir 1,000 pengguna di situ.

“Kita telah minta pemilik menara telekomunikasi ini untuk membuat laporan penuh berhubung kejadian itu. Buat sementara waktu, Digital Perak akan memasang menara sementara di surau tersebut bagi memastikan liputan talian telekomunikasi tidak terganggu.

“Saya juga telah mengarahkan Digital Perak serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam masa terdekat untuk memantau menara telekomunikasi yang lain di negeri ini bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Khairul berkata pemilik menara telekomunikasi juga akan berbincang dengan pihak surau bagi melihat bentuk ganti rugi yang boleh disalurkan kesan kejadian tersebut.

Kerja-kerja pembersihan dan pemasangan semula menara telekomunikasi yang baharu akan memakan masa kira-kira tiga bulan, katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply