JENAZAH KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS SUNGAI PETANI SELAMAT DIKEBUMIKAN

Sumber Gambar: Media Sosial

SUNGAI PETANI: Jenazah Ketua Dewan Muslimat PAS Sungai Petani Taibah Sulaiman, 61, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 390 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus), berhampiran Behrang, Perak, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Wang dekat sini, kira-kira pukul 9.40 pagi tadi.

Van membawa jenazah Allahyarhamah tiba di pekarangan Masjid As Salam Kariah Teluk Wang di sini pada pukul 9 pagi tadi dan disolatkan dengan diimamkan anak keenamnya, Imaduddin Md Noor, 24.

Imaduddin berkata walaupun berasa sedih dengan kehilangan ibunya, dia cuba untuk menunaikan hasrat terakhir ibunya iaitu agar anak-anak lelakinya menjadi imam bagi solat jenazahnya.

“Mula-mula tadi, saya rasa bersedia untuk menjadi imam tetapi sebaik masuk saf, saya rasa macam tak boleh..sebak…rasa tak mampu.

“Bila ingat pesanan umi (ibu), ‘Umi hantar hangpa (anak-anak) mengaji (belajar) agama, nanti solat jenazah Umi nak hangpa jadi imam’…jadi saya tunaikanlah, setakat itulah khidmat terakhir saya,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Dianggarkan kira-kira 500 orang terdiri daripada saudara dan sahabat Allahyarham hadir dan menyertai solat jenazah serta memberikan penghormatan terakhir.

Imaduddin berkata pada mulanya dia menyangka ibunya hanya cedera selepas menerima berita kemalangan terbabit namun mula gusar selepas panggilan ke telefon milik ibunya, tidak berjawab.

“Semalam, selepas selesai solat Jumaat, kami dapat berita Umi terbabit dalam kemalangan… selepas itu kecoh dalam kumpulan WhatsApp keluarga mengatakan Umi dilanggar ketika turun dari kereta dinaiki mereka untuk membantu kenderaan lain yang terlibat kemalangan.

“Mulanya kami sangka mungkin cedera sikit sahaja, kami siap untuk melawat di hospital..lepas itu adik saya masuk, menangis, beritahu Umi sudah tiada,” ujarnya sebak.

Sementara itu, suami Taibah, Md Noor Hasan, 61, berkata, dia dan isteri mendirikan rumah tangga kira-kira 35 lalu dan dikurniakan empat anak lelaki dan empat anak perempuan.

“Depa (mereka) balik dari muktamar menaiki satu kereta, lima orang…masa perjalanan balik, ada kereta baru kemalangan, tiga daripada mereka turun untuk membantu walaupun kereta mereka sudah jauh ke depan, mereka berhenti dan berjalan kaki untuk membantu..ketika itulah kemalangan berlaku.

“Saya mulanya terkejut apabila menerima berita kemalangan dan pemergian isteri kira-kira pukul 3 petang semalam…namun saya reda dengan apa yang ditentukan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, Taibah bersama dua lagi mangsa yang dilaporkan maut iaitu Ketua Ameerah PAS Sungai Petani Fatihah Nabila Bukri, 23, dan Penolong Setiausaha I Dewan Muslimat PAS Sungai Petani Nurul Najihah Amzi, 27, dirempuh kereta ketika mahu memberikan bantuan kepada sebuah kenderaan lain yang terbabit kemalangan.

Difahamkan, jenazah Fatihah Nabila dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Berangan, Kota Kuala Muda pada pukul 10 pagi tadi, manakala Nurul Najihah dikebumikan selepas solat subuh di Tanah Perkuburan Islam Al Irfan, Derga di Alor Setar, pagi tadi.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut berkongsi kesedihan di atas tragedi yang menimpa tiga pemimpin Dewan Muslimat PAS Kawasan Sungai Petani itu dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mereka.

“Perginya mereka tatkala sedang melakukan usaha amal yang mulia iaitu membantu insan lain yang mengalami kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Muktamar Tahunan parti di Shah Alam.

“Mudah-mudahan roh ketiga tiga Almarhumah ditempatkan bersama para syuhada, dikira sebagai pejuang agama dan kebajikan dengan setinggi tinggi ganjaran daripada Allah SWT,” kata Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Kedah dalam kenyataan hari ini.–AlHijrah Online

Leave a Reply