JPJ: JANGAN RENTAS NEGERI JIKA TIDAK LENGKAP VAKSIN

KUALA LUMPUR: “Jangan cuba rentas negeri jika masih belum terima vaksin penuh.”


Amaran keras Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Dan Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan, Aedy Fadly Ramli itu bertujuan memastikan semua pemandu dan penumpang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).


Aedy yang ditemui ketika pemeriksaan operasi bersepadu di Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur malam tadi berkata, pihaknya sudah menggerakkan kesemua anggota dan pegawainya untuk melakukan pemeriksaan pematuhan SOP di semua terminal bas seluruh negara terutamanya semakan ke atas aplikasi MySejahtera bagi memastikan penumpang lengkap dua dos vaksin COVID-19.


Hasil pemeriksaan terhadap status vaksinasi pengguna jalan raya sejak kebenaran rentas negeri bermula awal Oktober lalu didapati pada tahap memuaskan.

Justeru, pihaknya tidak akan teragak agak untuk mengenakan tindakan kompaun ke atas mereka yang cuba merentas negeri tanpa divaksin penuh.


“Bila kita menahan sebuah bas, anggota kita akan naik dan meminta semua penumpang untuk membuka MySejahtera dan menunjukkan status vaksinasi masing-masing. Sekiranya mereka telah lengkap dua dos vaksin, maka tiada masalah untuk pengguna tersebut,” katanya.


Operasi disertai Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), PUSPAKOM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memeriksa lebih 1000 kenderaan.


Operasi bermula jam 8.30 malam itu juga memfokuskan pematuhan peraturan jalan raya, dan mengesan warga asing yang melanggar peraturan imigresen .


JPJ mengeluarkan sebanyak 318 notis arah periksa dan sejumlah 315 saman atas pelbagai kesalahan.

Operasi itu berakhir jam 12 malam. –AlHijrah Online

Leave a Reply