AWAS, KELETIHAN LUAR BIASA PETUGAS KESIHATAN – W.H.O.

Sumber Gambar : BERNAMA

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menganggarkan antara 80,000 hingga 180,000 petugas kesihatan meninggal dunia akibat COVID-19.

Pertubuhan itu turut memberi amaran tentang bahaya keletihan, kegelisahan dan kelesuan luar biasa ke atas mereka ketika jangkitan COVID-19 masih berterusan menyelebungi dunia.

Dalam kenyataannya semalam, WHO memaklumkan siri kematian yang tinggi itu adalah satu kehilangan besar kepada dunia.

Angka yang dinyatakan itu adalah daripada Januari 2020 hingga Mei tahun ini.

Jumlah kematian keseluruhan akibat COVID-19 bagi tempoh sama adalah 3.45 juta orang.

Kehilangan ratusan ribu petugas perubatan itu dianggap sukar dicari ganti ketika dunia masih bergelut dengan virus pembunuh itu.

Memetik AlJazeera, sejumlah 135 juta orang di seluruh dunia, terlibat dalam bidang kesihatan.

Mereka adalah petugas barisan paling hadapan dalam mendepani musuh yang tidak kelihatan iaitu virus COVID-19.

Banyak negara mula mengutamakan golongan petugas perubatan untuk disuntik vaksin COVID-19, namun WHO memaklumkan, hanya dua daripada lima petugas perubatan sahaja yang berjaya menerima vaksinasi disebabkan isu ketelusan dan ketidaksamarataan dalam pengagihan vaksin. –AlHijrah Online.

Leave a Reply