JUAL BERAS TEMPATAN DALAM PAKET IMPORT KAUT UNTUNG – PEMAIN INDUSTRI

KUALA KURAU: Isu kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran masih belum selesai, timbul pula isu bungkusan beras tempatan disalin atau ditukar kepada beras import untuk mengaut keuntungan.

Perkara tersebut didedahkan oleh pemborong dan pengilang yang berada di pasaran tersebut, hingga menyifatkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu seperti membunuh industri beras tempatan secara senyap.

Katanya beras tempatan mempunyai harga siling, namun tidak bagi beras import yang menyebabkan ada pihak yang sengaja menggunakan kelompongan itu.

Pembekal dan pengilang beras negeri Perak, Mohamad Termizi Yop mendakwa, terdapat pengilang yang meragukan di mana mereka mempunyai pemborong sendiri, dan mereka juga menjual beras import.

“Sebagai contoh, pengilang yang ada pemborong sendiri, dia jual beras tempatan. Tetapi, kenapa dia jual beras tersebut dalam kampit beras import? Itu perlu diperjelaskan,” katanya semasa ditemui Berita Alhijrah.

Sementara itu, pemborong dan pengilang beras negeri Kedah, Musonnef Md Radzi turut mempersoalkan jumlah pemain industri bumiputera seperti mereka semakin berkurangan daripada 1,200 pemborong, kini tinggal lebih 200 sahaja.

“Kilang melayu sudah lenyap, pemborong melayu juga lenyap. Bila program SC15 diwujudkan, wujud sampai 1200 pemborong melayu.

“Sekarang mana mereka? Bila tanya mana, alasan beras tiada. Bekalan tiada, ada perbincangan meja bulat,” katanya.

Isu beras tempatan serta pihak yang terlibat dengan masalah tersebut harus diselesaikan segera.

Ini kerana ia melibatkan kitaran pelbagai peringkat yang bermula dari pesawah sehinggalah kepada peruncit.—AlHijrah Online

Leave a Reply