JUAL FACEMASK MELEBIHI HARGA SILING SATU KESALAHAN

KUALA LUMPUR: Pengusaha premis perniagaan yang menjual pelitup muka atau facemask melebihi harga maksimum ditetapkan kerajaan boleh dikenakan tindakan tegas.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana terdapat laporan ada pusat beli-belah di Kelantan yang mengenakan bayaran sebanyak RM10 bagi lima keping pelitup muka, selain melarang pelanggan memasuki premis jualan mereka jika tidak membeli peralatan perlindungan diri (PPE) itu.

Katanya, kerajaan sebelum ini menetapkan harga siling bagi penutup pelitup muka RM1.50 sekeping. 

“Kalau mereka jual lebih daripada harga siling maka kedai itu telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Jadi mereka boleh diambil tindakan oleh KPDNHEP. Jadi saya harap KPDNHEP ambil maklum tentang perkara ini agar tindakan segera boleh diambil,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang disiarkan stesen television tempatan hari ini.

Ismail Sabri mengulas tindakan segelintir pasar raya cuba mengambil kesempatan terhadap orang ramai dengan memaksa mereka membeli pelitup muka pada harga tinggi sebelum memasuki premis perniagaan mereka. — AlHijrah Online

Leave a Reply