JUMLAH PENUMPANG IKUT KAPASITI KENDERAAN BAGI YANG LENGKAP VAKSIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan membenarkan jumlah penumpang dalam kenderaan mengikut kapasiti kenderaan bagi individu yang lengkap dua dos vaksin di negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula semalam.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan bagi individu yang masih belum mendapat vaksin lengkap, hanya dibenarkan dua orang sahaja wakil rumah keluar untuk mendapatkan keperluan asas.
“(Belum vaksin lengkap) Maksimum tiga orang sahaja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, program vaksinasi, keselamatan atau kecemasan.
“Bilangan penumpang dalam teksi dan e-hailing dihadkan hanya dua orang sahaja termasuk pemandu dengan penumpang mesti duduk di belakang,” jelas kenyataan MKN yang dikongsi di Telegram.
Bagaimanapun, menurut MKN aktiviti rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi pasangan dan anak jarak jauh serta individu yang mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sebelum ini, kerajaan juga telah membenarkan individu yang lengkap menerima vaksin untuk ‘dine-in’ di restoran atau premis makanan termasuk aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi pasar malam dan pasar minggu.—AlHijrah Online