Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PANDEMIK HENDAKLAH MENGINSAFKAN PARA PEMIMPIN DENGAN TANGGUNGJAWAB YANG DIAMANAHKAN – SULTAN NAZRIN

DALAM NEGARA

PANDEMIK HENDAKLAH MENGINSAFKAN PARA PEMIMPIN DENGAN TANGGUNGJAWAB YANG DIAMANAHKAN – SULTAN NAZRIN

Sumber Gambar: Ihsan Istana

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa pandemik COVID-19 yang sedang dihadapi hendaklah menginsafkan pemimpin dengan tanggungjawab yang diamanahkan untuk melakukan penetapan semula dalam urus tadbir negara berteraskan prinsip keadilan.

Titah baginda, prinsip keadilan tersebut dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya dan menyerahkan amanah kepada mereka yang pakar dalam bidangnya.

Sultan Nazrin bertitah, ahli falsafah Islam Ibnu Khaldun dalam mukadimah yang dihasilkannya 800 tahun lalu, memberikan peringatan bahawa sesebuah tamadun akan runtuh apabila pemerintah gagal melaksanakan keadilan.

“Ibnu Khaldun mentafsirkan, apabila sesuatu bencana diturunkan, menandakan kemurkaan Ilahi terhadap perbuatan dosa dan kezaliman manusia.

“Di samping usaha begitu gigih yang diterokai untuk mencari formula mengatasi wabak, manusia wajib meneguhkan iman, menerima sesuatu bencana sebagai qadar yang telah ditentukan Ilahi, dan berusaha mencari rahsia yang terkandung di sebalik bencana yang diturunkan,” titahnya.

Titah baginda itu dibacakan Pro-Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin dalam Istiadat Konvokesyen USAS ke-13, yang diadakan secara maya, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, sehingga penawar mujarab berjaya ditemui manusia hendaklah menggunakan akal fikiran melakukan perubahan, penyesuaian dan penghijrahan daripada norma hidup sebelum ini.

Titah Baginda, pandemik dan penyakit walaupun bermula daripada tangan durjana manusia, tetapi keizinan terjadinya pandemik dan penyakit, ditentukan oleh Allah SWT.

Justeru itu, baginda bertitah, di samping usaha mencari formula mengatasi wabak, manusia wajib meneguhkan iman, menerima bencana sebagai qadar yang telah ditentukan ilahi dan berusaha mencari rahsia terkandung di sebalik bencana yang diturunkan.—AlHijrah Online / Hamimah Hamid


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading