KABINET PERLU BERI TUMPUAN KEPADA USAHA PULIHKAN NEGARA DARIPADA COVID-19 – MUHYIDDIN

Sumber: ARKIB

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri yang dilantik diharap memberikan tumpuan segera kepada usaha-usaha memulihkan negara daripada kemelut pandemik COVID-19 dengan menyalurkan bantuan kepada golongan rakyat yang memerlukan dan memacu pertumbuhan ekonomi.

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelantikan tersebut merupakan amanah berat yang mesti dipikul dengan penuh jujur, ikhlas dan berintegriti selaras dengan prinsip Rukun Negara dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai badan yang menjalankan fungsi Eksekutif Persekutuan, Jemaah Menteri adalah badan tertinggi yang memutuskan dasar-dasar kerajaan untuk dilaksanakan di setiap peringkat kerajaan.

“Fungsi ini mestilah dilaksanakan dengan penuh wibawa demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, program vaksinasi yang telah menunjukkan pencapaian menggalakkan mesti dipastikan terus berjalan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

Muhyiddin berkata, pembukaan sektor-sektor ekonomi mengikut fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mesti dilaksanakan dengan teratur tanpa menjejaskan sasaran pemulihan negara daripada wabak COVID-19.

“Program-program bantuan prihatin rakyat juga mesti diteruskan untuk membantu golongan yang memerlukan dalam fasa pemulihan negara,” tambahnya.

Muhyiddin merakamkan ucapan tahniah kepada barisan Jemaah Menteri yang telah mengangkat sumpah jawatan dan setia di hadapan Kebawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri dari parti-parti komponen Perikatan Nasional.

“Saya mendoakan agar seluruh barisan Jemaah Menteri sentiasa diberikan hidayah dan inayah oleh Allah S.W.T. untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah dan berintegriti demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply